Kampung terkepung akibat banjir, 500 penduduk Kuala Krai siap sedia ‘naik’ bukit

Oleh MALAYSIADATELINE

Selepas perkampungan terkepung susulan jalan utama dinaiki air setinggi empat meter, hampir 500 penduduk di Kampung Pasir Era, Kuala Krai, Kelantan terpaksa bersiap sedia untuk menyelamatkan diri atas bukit.

Menurut salah seorang penduduk dikenali sebagai Nazira Abdul Ghani, hujan lebat yang berterusan sejak tiga hari lalu telah menyebabkan air Sungai Kelantan di kawasan Kuala Krai melimpahi tebing.

Situasi genting ini turut menjadi punca jalan utama ke kampung berkenaan tenggelam malah sehingga pagi ini, hujan masih belum berhenti dan paras air sungai juga menunjukkan trend menaik.

Nazira juga bimbang apabila bekalan makanan semakin meruncing disebabkan kedai runcit yang menjual barang keperluan harian semakin kekurangan stok, lapor Berita Harian.

“Lebih membimbangkan anak saudara saya berpantang di rumah bersama bayinya yang berusia 10 hari. Pada masa yang sama, ibu saya iaitu Zawiah Mat Salleh berusia 81 tahun juga tidak sihat selain sakit tua.

“Kami tidak berani mengambil risiko untuk mengharungi air banjir kerana arusnya yang deras serta dalam. Saya bimbang jika keadaan berterusan begini, kami akan terputus bekalan makanan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Kelantan dilaporkan meningkat kepada seramai 29,023 berbanding 21,568 yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam semalam.

Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jajahan Pasir Mas telah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,698 di 40 PPS, diikuti Tanah Merah seramai 3,224 (22 PPS) dan Kuala Krai sebanyak 2,826 (25 PPS).

Kawasan Pasir Puteh pula membabitkan 2,757 mangsa di 16 PPS, Tumpat seramai 2,405 (7 PPS), Kota Bharu 2,157 mangsa (17 PPS), Bachok menempatkan 1,433 orang (6 PPS), Machang seramai 1,750 (12 PPS) dan di Jeli, 773 mangsa berada di enam PPS.

Baca juga: Rumah dilanda banjir, lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika tutup suis mesin basuh