Kanak-kanak 7 tahun maut didera, ibu dan kekasih ditahan

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin banyak kes penderaan berlaku dan saban tahun jumlah kematian akibat didera juga meningkat serta dalam kebanyakan kes, suspek adalah ahli keluarga sendiri.

Entah apa salah seorang kanak-kanak yang hanya berusia tujuh hingga dia didera oleh ibu bersama kekasihnya.

Kanak-kanak tersebut maut akibat pendarahan dalam kepala selepas didera di Taman Bukit Ampang, Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa yang maut dipukul dengan objek keras dan tumpul berulang kali lapor Kosmo! Online.

Malah Mohd Azam memaklumkan mangsa turut mengalami lebam pada muka, leher, tangan dan kaki mangsa.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, mengesahkan punca kematian adalah pendarahan dalam kepala,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pihak polis sudah menahan ibu kandung serta teman lelakinya masing-masing berusia 25 dan 36 tahun pada pukul 5.15 petang di Taman Bukit Ampang.

Hasil ujian air kencing mendapati teman lelaki suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala ibu kandung mangsa negatif.

“Semakan juga menunjukkan lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau, manakala wanita tersebut tiada rekod,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Sah hingga 1 April 2029, Ustaz Don terima tauliah mengajar agama di negeri Perak