Baru-baru ini tular satu rakaman menyentuh hati orang ramai memaparkan seorang kanak-kanak yang memakai kostum katak meminta makanan daripada pengunjung di Pantai Remis, Selangor.
Namun perkara yang mengundang perbincangan hangat adalah dakwaan bahawa kanak-kanak malang berkenaan dipercayai dipaksa untuk bekerja mencari pendapatan oleh penjaganya sehingga kelaparan.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di platform Threads itu, kelihatan pengunjung sedang menyuapkan makanan selepas kanak-kanak berkostum katak berwarna merah jambu terbabit mengadu lapar.
Pemilik akaun Threads itu percaya kanak-kanak terbabit sedang bekerja memandangkan terdapat kotak kutipan dan gambar kod respons pantas (QR) dibawa bersamanya untuk mengumpul wang dari pengunjung.
“Budak di dalam kostum itu nampak lapar sangat-sangat. Dia memang meminta makanan dekat meja sebelah saya. Cara dia makan itu nampak lapar sangat-sangat. Macam tak diberi makan. Budak itu sedang ‘bekerja’ ya.
“Kamu semua nampak tak badan dia ada kotak dan kod QR untuk kumpul duit. Kasihan sangat. Abang saya juga mendekati budak itu sebab nampak kasihan. Tiba-tiba ada seorang perempuan datang.
“Perempuan itu tarik budak berkenaan. Bawa pergi dekat mak budak itu. Abang saya pergilah tengok. Mak dia cubit budak itu weh, macam marah. Abang saya tegur. Mak dia cakap, ‘Biarlah, anak saya. Bukan anak awak’,” kesalnya.
Dalam perkongsian yang sama, perakam video berharap agar pihak bertanggungjawab ‘turun padang’ ke Pantai Remis membuat pantauan dan tentunya mengambil tindakan yang sewajarnya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna menyelar tindakan ibu bapa yang menggunakan anak-anak mereka terutamanya di bawah umur untuk mendapatkan wang ringgit.
Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman sama dan menyifatkan kejadian itu sebagai ‘trend’ baharu berikutan menemui ramai kanak-kanak memakai kostum tersebut di sekitar Malaysia.
Oleh yang demikian, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera supaya aktiviti yang disifatkan sebagai satu bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak ini dapat dihentikan dengan segera.
Baca juga: Bekas penerima zakat pilih undur diri selepas kehilangan anak, mahu beri ruang pada insan lain