KANUN bakal buat laporan polis terhadap pihak muat naik hantaran berbaur perkauman

Oleh KIM SYAZIE

Biro Undang-undang (KANUN) AMANAH akan menggerakan satu laporan polis terhadap segelintir pihak yang memuat naik hantaran berbaur perkauman yang bersifat menghasut dan rasis di media sosial.

Pengerusinya, Dr Zulqarnain Lukman menegaskan bahawa tindakan sedemikian adalah berbahaya kepada negara kerana boleh mencetuskan pergaduhan serta pertumpahan darah.

Menurutnya, badan guaman itu setakat semalam telah menerima banyak aduan terhadap pihak yang tidak berpuas hati dengan pembentukan kerajaan negeri Perak pada semalam dan proses pembentukan kerajaan Persekutuan hari ini.

“Sehubungan itu, peguam KANUN bersama Biro Mobilisasi akan menggerakkan laporan polis ke atas pihak-pihak yang membuat posting berbaur menghasut dan bersifat rasis di semua media sosial.

“KANUN menegaskan tindakan ekstrimis atas nama bangsa dan agama ini akan memudaratkan keamanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru itu, KANUN turut memberi amaran agar individu yang telah membuat hantaran perkauman sedemikian atau telah berkongsi posting tersebut di media sosial TikTok, Facebook dan Instagram perlu memadamkannya segera.

Jika tidak katanya, pihak yang membuat hantaran sedemikian bakal berhadapan dengan hukuman denda dan penjara.

“Sekiranya pihak kami mendapati posting sedemikian masih wujud maka pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Baca juga: Bas pemain Selangor diserang dengan batu di Terengganu malam tadi

Baca juga: Disamakan dengan watak ibu ayam dalam filem, netizen kritik tak sesuai ambil gambar dengan rokok di tangan