Karangan raya

Oleh Oleh MUHAIMIN SULAM

Ini adalah tulisan raya. Bukan sangat kerana ditulis sempena hari raya aidil fitri. Ia adalah tulisan raya yang bermaksud idea besar. Idea besar ini terkandung dalam setiap bait-bait kata yang tersusun menjadi sebuah karangan. Ia mempunyai makna besar. Ia dari hati sang pengarang yang sangat dalam. Maka yang membacanya juga harus berjiwa besar.

Sambutan hari raya tahun ini dalam darurat olok-olok. Darurat untuk mengekalkan kuasa kerakusan kerajaan tebuk atap. Kita ditakut-takutkan Covid 19 sebagai virus merbahaya. Tidak boleh rentas daerah. Tidak boleh ziarah orang hidup. Ziarah ke perkuburan orang mati dihadkan, jangan lama-lama. Menumbuhkan ketakutan berganda adalah kaedah paling ampuh memenjarakan pemikiran rakyat.

 

Hari raya adalah hari kebesaran umat Melayu. Di dalam kotak fikiran orang Melayu bukan sekadar ketupat, lemang, rendang, kuih tart tetapi hari ini adalah kebesaran untuk bermaaf-maafan, bersedekah, bersilaturahim, berziarah, bertakbir dan antara yang dianggap besar atau raya adalah mencium tangan ibubapa memohon kemaafan dan BALIK KAMPONG.

Balik kampong adalah romantisme yang bertenaga mengenang zaman indah, gembira dan bermaruah. Di situlah terangkumnya segala kekuatan dalaman dan luaran. Ini bukan sekadar lagu Sudirman atau Dendang Perantau nyanyian P. Ramlee. Atau ratusan lagu-lagu raya yang lain. Raya adalah besar makna buat kita semua.

Tempurung otak kita mesti dipecahkan. Ini satu kerja raya. Norma hidup baru bukan sekadar mematuhi SOP tetapi bagaimana kita terus berstamina melawan hawa nafsu dalam diri dan berfikir untuk mengubah tata urus negara yang cacamarba. Ini tugas raya kita semua.

Tempurung otak kita mesti dipecahkan. Kebahagiaan, kebebasan dan kemakmuran negara dapat dicapai melalui rasa keberanian bersuara tentang untung nasib bangsa yang kini dijadikan bahan pertaruhan dalam bersaing kuasa.

Kerajaan gagal adalah manifestasi kerajaan lemah. Kerajaan dilemahkan oleh barisan kabinet yang penuh dengan mangkuk. Jika kerajaan lemah kerana kekuatan rakyat, itu baik untuk negara. Rakyat bersikap dan bertindak sebagai warganegara. Bukan rakyat yang setia membabi buta. Kita hendaklah menjadi rakyat yang bersama-sama menjaga kestabilan dan kesihatan hidup bernegara.

Sembahyang raya dan solat waktu limited edition. Bazar Ramadhan dan warung tepi jalan ditutup tapi kedai nombor ekor dibuka. Ini bukan soal Islam terancam atau lemah. Mahu bermain api emosi, propaganda murahan memang sedap. Tetapi itu adalah kerja pandir kehilangan hujah. Masalah ini adalah kerana tugas dan tanggungjawab raya yang diabaikan oleh sebahagian daripada kita.

Roadblock di jalanraya, lebuhraya dan jalan tikus. Angka Covid 19 tetap naik. Menteri bermentera bagai roller coaster yang hilang pemandu. Sekejap ke utara, sekejap ke selatan. Depa kata, bangang.

Tahun ini tidak balik kampong isteri seperti kelaziman. Mak mertua meninggal dunia di pertengahan bulan mulia. Hasrat hendak beraya di Teluk Intan tidak kesampaian. Katanya, mahu berubah angin. Rupa-rupanya angin alam barzakh lebih kuat. Selalunya beraya bersama. Makan Nasi Dagang dan merasa kesedapan kuih Akok.

Tahun ini raya di kampong sendiri, tempat tinggal kami suami isteri. Melihat padi menguning. Makin tunduk, makin berisi. Itulah resmi padi.

Lokasi: Bendang Wak Selamat.