Kartunis Lat dan Penasihat Umum Amanah Ahmad Awang Tokoh Maal Hijrah Ar Ridzuan

Oleh MALAYSIADATELINE

Kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Khalid  atau lebih dikenali sebagai Lat  dan Penasihat Umum AMANAH Ustaz Ahmad Awang menerima anugerah khas Tokoh Ar-Ridzuan pada sambutan Maal Hijrah 2018/1440 Hijrah peringkat negeri Perak, hari ini.

Anugerah itu disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam acara sambutan yang diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh yang disertai kira-kira 3,000 umat Islam.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Penasihat Umum parti Amanah, Ahmad Awang yang juga bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia dari 1981 hingga 1999.

Ustaz Ahmad,62 anak jati Semanggol  juga Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Cawangan Malaysia sejak 2014 hingga kini. Beliau pernah menerajui Persatuan Ulama Malaysia sebagai Presiden  selama 17 tahun dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Lat, 67, yang terkenal dengan karya ‘The Kampung Boy’ dan Ustaz Ahmad   masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah bernilai RM7,000 serta hadiah iringan, sijil dan plak yang disampaikan Sultan Nazrin.

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad 1, Kuantan.

Baginda menyertai hampir 2,000 umat Islam mendengar ceramah disampaikan kadi Temerloh Abdul Aziz Abdul Karim dan bacaan al-Quran oleh wakil negeri ke Pertandingan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan 2018, Mohd Khalil Mohd Zari.

Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri kepada Dekan Fakulti Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah Datuk Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil, 60, dan lima penerima lain.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir.

Acara sambutan itu dimulakan dengan perarakan melibatkan agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). -Bernama.