Tongkat Warrant atau nama sebenarnya Datuk Dr Usman Awang telah mengangkat taraf wanita di tempat yang tinggi dalam kehidupan, kata Pengerusi Yayasan Usman Awang, Dr Syed Hussein Ali.
Menurut beliau, karya Sasterawan Negara ini juga sangat diminati oleh ramai pembaca wanita,
Syed Hussein ketika bercerita mengenai Usman Awang atau lebih dikenali dalam dunia sastera sebagai Tongkat Warrant berkata, dia tidak menafikan kebanyakan peminatnya adalah golongan wanita.
“Selain anak gadisnya yang sangat memujanya, banyak wanita yang meminatinya kerana sifatnya yang lemah lembut dan sangat terbuka, dia tidak pernah memandang rendah terhadap wanita.
“Ada di kalangan kita waktu itu, dengan wanita ini susah sedikit. Bukan sahaja rasa janggal tetapi ada sikap memandang rendah terhadap wanita tapi tidak bagi Usman. Baginya semua orang sama darjatnya, sama mulianya,” katanya.
Syed Hussein ditemui dalam Majlis Mengingati Tongkat Warrant antaranya mengingati peristiwa mogok Utusan Melayu merupakan sebahagian daripada kisah tentang Sasterawan Negara ke-3 ini.
Majlis yang diadakan di Yayasan Usman Awang,baru-baru ini, telah dihadiri di kalangan teman rapat Usman serta penggiat-pengiat seni dan sastera sebagai mengenan beliau yang menghembuskan nafas terakhir pada 29 November 2001 di usia 72 tahun.
Haslina Usman, anak Usman yang bertanggungjawab menyimpan segala karya Usman dan sering mengadakan majlis bagi mengingati ayahnya setiap tahun beliau berusaha mengadakan majlis yang walaupun sederhana tetapi sangat bermakna kepada insan yang meminati hasil kerja Usman.
Usman juga sangat bertuah kerana mempunyai anak yang sangat menghargai perjuangan beliau melalui hasil karyanya dan tidak jemu-jemu memastikan karya-karya Usman sentiasa terpelihara dan tidak hilang ditelan zaman.
Majlis petang itu sederhana sahaja, selain bacaan doa selamat, majlis diisi dengan tayangan dokumentari tentang Usman, filem pendek dari cerpen Usman bertajuk Peristiwa Bunga Telur, cerita-cerita daripada teman-temannya, deklamasi dan nyanyian puisi-puisi beliau.
Tongkat Warrant simbol perpaduan
Syed Hussein turut menyifatkan Usman sebagai insan yang sangat mencintai keharmonian antara kaum, agama dan budaya. Selain sangat peka dengan hal-hal kemanusiaan dan penderitaan rakyat, Usman juga menurut Syed Husin merupakan seniman yang memperjuangkan perpaduan kaum lewat sajak-sajaknya yang relevan sehingga hari ini.
“Kalau kita baca sajak-sajak Usman dia sangat menekankan soal kemanusiaan, timbang rasa, tolak ansur dan perpaduan kaum. Baginya perpaduan dalam pelbagai bangsa dan pelbagai budaya ini adalah satu perkara yang penting untuk masa depan masyarakat dan kebahagian anak cucu kita.
“Dalam suasana masyarakat dan politik hari ini kita nampak lebih banyak unsur-unsur membezakan orang dari segi agama dan kaum. Terlalu banyak percubaan untuk menimbulkan kebencian atas dasar perbezaan itu.
“Ini berlaku kerana ada pihak yang mempunyai kuasa ingin mengekalkan kuasanya, cara untuk orang melupakan segala korupsi mereka adalah dengan menimbulkan ilusi kaum dan ilusi agama. Dalam suasana inilah relevannya idea yang dicetuskan oleh Usman,” ujar Syed Hussein yang sentiasa menyokong usaha-usaha mengenang Usman dan mengangkat karya-karyanya.
Bagi pelakon dan penggiat teater Fauziah Nawi, Usman yang dipanggil ‘Abang Man’ merupakan penulis yang lembut tetapi mesej yang dibawanya cukup tajam.
Sambil melahirkan rasa terhutang budi terhadap Usman kerana membenarkan naskah puisinya dipentaskan pada tahun 1998, Fauziah berkata melalui naskah puisi Usman, beliau dapat mempelajari puisi dengan lebih mendalam.
Menurut Fauziah, beliau mementaskan teater Dari Bintang ke Bintang pada tahun 1998 ketika negara dilanda kegawatan ekonomi. Beliau dan kawan-kawan yang tidak mendapat tawaran berlakon ketika itu membuat keputusan untuk mementaskan teater dan memilih naskah Usman.
“Saya hari ini sangat emosi sebab manusia boleh pergi macam itu sahaja. Bila saya tengok Abang Man dah tak ada saya rasa macam memang dah tak adakah orang yang akan menulis seperti beliau?
“Usman Awang menjadi sumber kekuatan kami dan itulah rezeki pertama kami semasa kegawatan ekonomi 1998,” katanya.
Teater Bintang Ke Bintang dipentaskan kali kedua pada September lalu dengan menampilkan pelakon-pelakon baharu.
“Saya puas hati dengan pementasan ini kerana bagi saya, melalu naskah inilah saya boleh menarik anak-anak muda mencintai puisi, dan mereka semakin berminat dengan penulisan karya-karya sebegini. Kami punya penafsiran tentang Usman Awang adalah tulisnya baik, lembut tetapi dia menikam kita.
Fauziah juga tidak menafikan Usman mempunyai rupa paras yang menarik dan bersopan santun.
“Saya tahu Abang Man sangat seksi, sangat romantik. Ya, ahli kumpulan teater saya bila jumpa Abang Man mereka tak tengok orang lain tapi tengok Abang Man,” cerita Fauziah lagi.
Pun begitu, di sebalik sifatnya yang lemah lembut, Usman mempunyai semangat juang yang cukup kuat dalam menentang apa-apa sahaja yang dirasakan tidak betul dan menindas orang kebanyakan.
Demikian juga pandangan , Datuk A.Samad Said yang menceritakan ketika tercetusnya peristiwa mogok Utusan Melayu pada tahun 1961, Usman merupakan salah seorang daripada 115 pekerja dan wartawan akhbar itu yang terlibat dalam peristiwa penting sejarah kewartawanan di Malaysia itu.
Usman yang ketika itu bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu sama-sama memperjuangkan kebebasan akhbar dan membantah campur tangan politik Umno dalam akhbar yang mendukung semangat nasionalis itu.
Mogok selama 93 hari itu tercetus apabila ahli Majlis Tertinggi Umno Ibrahim Fikri dilantik sebagai pengarah urusan dan ketua pengarang menggantikan Said Zahari.
Kakitangan Utusan Melayu yang mogok bermula 20 Julai 1961 mendirikan khemah di perkarangan bangunan pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Di situlah mereka makan dan tidur.
Selepas menghadapi pelbagai rintangan, khemah-khemah protes mereka akhirnya dirobohkan empat hari sebelum pemogokan mereka tamat pada 21 Oktober 1961.
“Ketika khemah sudah ada yang roboh, teman-teman semuanya mengharapkan kepada Usman oleh sebab keadaan tidak dapat ditangani lagi.
“Derma yang dijanjikan dalam senarai memang banyak tetapi hanya dalam senarai. Usman datang kepada saya dan memberitahu wang mogok tidak mencukupi. Ada sebahagian yang sudah tinggalkan khemah ada satu waktu khemah sudah runtuh.
“Usman meminta bantuan saya untuk menyediakan makanan selama empat hari kepada peserta mogok. Saya ceritakan ini semata-mata untuk menyatakan satu kebenaran dan kesengsaraan,” ceritanya ketika beliau menjawat wartawan di akhbar Berita Harian.
Perasaan dan pengalaman terlibat dalam mogok ini dirakam Allahyarham dalam Puisi beliau bertajuk ‘Duri dan Api’ dalam bait-bait puitis karangan beliau bagi mengingati peristiwa sejarah Mogok Utusan.
Duri dan Api
Kawan-kawanku yang dikasihi
semalam kita bertemu kembali memadu
ketika matari tersangkut di bumbung Utusan
kita tidak menerima apa yang ada
yang dinyanyikan dari hati berani
dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.
Lagu kita telah mulai terpancar
ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar
di luar udara basah dalam matari bersinar
semua antara kita lagunya seluruh sedar.
Apakah ini derita diri dalam mimpi
atau kenyataan pahit menjepit
pada lena yang membunuh kehidupan manusia
sama-sama kita rangkul menguji diri.
Kawan-kawanku yang dikasihi
di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.
Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
di mana air mata tidak akan menitik tumpah
sebab kebulatan ikrar tak akan berubah
apa saja kita tidak akan menyerah – Nukilan Tongkat Warrant.