Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan hairan terhadap tindakan menyepi kerajaan berhubung Program Dwibahasa (DLP) dalam pengajaran mata pelajaran terpilih di sekolah-sekolah.
Beliau berkata, kerajaan seolah-olah menutup isu ini daripada mendapat liputan media.
“Saya hairan, pelik kenapa kerajaan sepikan isu ini dalam media.
“Kerajaan nampaknya menutup (isu ini dalam) media. Dalam Utusan Malaysia tidak timbul hal ini. Berita Harian seimbang, yang pro dan kontra,” katanya dalam Wacana Fikrah Ummah – Kelangsungan Bahasa Melayu Dalam Pembangunan Negara di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka semalam.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2016 Oktober lalu mengumumkan dua lagi inisiatif, iaitu DLP dan Highly Immersive Programme (HIP) yang akan dilaksanakan secara pilihan.
Sebanyak 300 buah sekolah dikenal pasti sebagai projek perintis dengan peruntukan kos RM38.5 juta.
Sekolah-sekolah akan diberikan pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris untuk pelajar tahun satu dan tahun empat.
Tidak bersetuju dengan pengumuman itu, Zainal berkata, beliau bimbang program tersebut hanya bermotifkan keuntungan kepada pihak-pihak tertentu tanpa mempedulikan nasib bahasa Melayu dan anak bangsa.
Memberi contoh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang didakwa memberi peluang perniagaan kepada syarikat tertentu, beliau bimbang DLP juga mempunyai tujuan yang sama.
“Kami memikirkan generasi akan datang. Seorang negarawan memikirkan generasi akan datang. Seorang ahli politik cuma memikirkan perutnya. Saya khuati DLP ini adalah hal perut,” tegasnya.
Justeru selain menggunakan saluran politik, beliau menyeru rakyat bangkit menentang DLP.
“Kita bersetuju untuk menggunakan saranan politik untuk perjuangan ini tapi kita masih bernegosiasi dengan pihak kerajaan dahulu.
“Tetapi kenapa kita serahkan kepada orang politik? Mari kita sama-sama rakyat bangun. Kita memerlukan gerakan dari akar umbi. Generasi baru perlu faham bahawa ini masalah mereka.
“Seandainya generasi baru tidak faham ini kelemahan kita. Bagaimanapun kita perlu bergerak dari bawah. Kita gugat dari bawah. Kita perlu mewujudkan anai-anai, gegat dan bubuk yang makan dari bawah.
“Sedangkan mereka juga anai-anai, gegat dan bubuk yang memakan kita untuk meruntuhkan proses kenegaraan,”katanya.
Program DLP menerima tentangan banyak pihak termasuk Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
DLP dan HIP adalah inisiatif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) bagi dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Menurut Pemandu, DLP melibatkan pengajaran dalam bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains, matematik, teknologi rekabentuk dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).