Kasihannya, konsert Aisha Retno terpaksa dibatalkan sebab tak ramai penonton

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi berbakat besar yang sedang menempa nama dalam industri nyanyian, Aisha Retno terpaksa melupakan hasratnya untuk mengadakan konsert pertamanya pada 16 November depan di Zepp KL.

Dalam satu hantaran di Instagram dari pihak penganjur, Kharisma Music International memaklumkan bahawa konsert Aisha Retno Malam Sutera terpaksa dibatalkan ekoran jualan tiket yang tidak mendapat sambutan.

Pihak pengurusan artis itu memutuskan untuk tidak menunda konsert terbabit ke satu tarikh lain.

“Kami dengan dukacita mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan atas sebab jualan tiket yang rendah.

“Kami dengan rendah hati ingin memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Ia juga bukan satu keputusan mudah buat kami.

“Oleh itu, Ticket2U sudah menghantar emel kepada pembeli untuk proses bayaran balik penuh. Pemulangan wang akan dilakukan dalam masa tujuh ke 14 hari bekerja,” katanya.

Meninjau Instagram penyanyi terbabit, Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, namun ada memuat naik beberapa hantaran berbaur kekecewaan.

Selain itu, dia dilihat mengulang siar hantaran dimuat naik peminatnya yang memberikan kata-kata semangat, dipercayai menjurus kepada isu berkenaan.

Aisha menerusi hantaran di Instagram Story berkata, dia akan menjelaskan mengenai pembatalan konsert tersebut dalam masa terdekat.

“Nanti saya akan ceritakan semuanya. Jalan terus walaupun sakit,” ujarnya.

Untuk rekod, penyanyi berusia 24 tahun itu merupakan naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Kategori persembahan terbaik juga dimenanginya dan meraih wang tunai RM12,000 beserta trofi menewaskan pesaing terdekat, Shiha Zikir yang mempertaruhkan lagu Kalam.

Baca juga: Suami serabut isteri bergaji tinggi ‘spend’ untuk diri sendiri, rasa beban beli barang bayi