Ke mana dana RM2.4 bilion sukuk Bandar Malaysia 1MDB?

Oleh MALAYSIADATELINE

Naib Presiden PKR Rafizi RamliBelum pun isu pemilikan asing dalam projek Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) milik 1MDB reda, timbul pula isu berhubung penggunaan dana 1MDB hasil terbitan sukuk (bon Islam) bagi membiayai projek itu.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media semalam mempersoalkan mengapa bebanan kewangan untuk memindahkan dan menaiktaraf pangkalan-pangkalan tentera masih lagi berbangkit sehingga menjadi sebahagian dari urusniaga jual beli ekuiti BMSB.

Ini kerana jelasnya, 1MDB melalui BMSB telah meminjam RM2.4 bilion dalam tahun 2014 (dalam bentuk sukuk) untuk membiayai kerja-kerja tersebut?

Menurut Rafizi, 1MDB dalam kenyataan bertarikh 6 Januari telah mengesahkan kebimbangan beliau tentang penglibatan syarikat berkaitan kerajaan China di dalam
projek pemindahan dan naik taraf beberapa pangkalan tentera udara di Semenanjung
Malaysia.

“Kenyataan 1MDB tempoh hari mengakui bahawa salah satu pilihan struktur urus niaga yang sedang dibincangkan ialah pembelian ekuiti di dalam BMSB.

“Ini selari dengan pengumuman 1MDB sebelum itu bahawa ia telah menjual ekuitinya di dalam BMSB sebanyak 60% kepada konsortium yang dimiliki bersama oleh syarikat berkaitan Kerajaan China itu.

“Apabila ini dipadankan dengan pengumuman yang difailkan di Bursa Hong Kong, ia mengesahkan bahawa struktur urusniaga melalui kaedah penjualan ekuiti telah dilaksanakan kerana syarikat berkaitan kerajaan China itu memfailkan nilai urusniaga ekuiti (bukannya nilai tanah seperti yang diumumkan oleh 1MDB),” ujar Rafizi.

Apa yang lebih merunsingkan, tambah Ahli Parlimen Pandan itu, penjualan ekuiti kepada konsortium itu mendedahkan bahawa kerja-kerja memindahkan dan menaiktaraf pangkalan-pangkalan tentera masih menjadi sebahagian dari urusniaga jual beli ekuiti BMSB sedangkan 1MDB melalui BMSB telah meminjam RM2.4 bilion dalam tahun 2014 untuk embiayai kerja-kerja tersebut.

Dengan merujuk terma-terma utama perjanjian Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB pada 2014, Rafizi mendedahkan perkara berikut:

1. Muka surat 6 mengesahkan bahawa BMSB (anak syarikat milik penuh 1MDB) telah menerbitkan Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion;

2. Muka surat 10, 11, 12 mengesahkan bahawa kontrak-kontrak pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan tentera udara/polis udara Sendayan, Ipoh, Butterworth, Gong Kedak, Kuantan, Subang (dua kontrak bagi dua pangkalan berbeza) dan Kajang yang merupakan bayaran balik 1MDB kepada Kerajaan Persekutuan telah dicagarkan sebagai tukaran kepada tanah-tanah yang dianugerahkan;

3. Muka surat 13 dan 14 mengesahkan bahawa dana RM2.4 bilion yang diperolehi 1MDB
hasil dari terbitan Sukuk Murabahah ini hanya boleh digunakan untuk dua tujuan sahaja iaitu membiayai pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan udara di atas dan membiayai aliran tunainya.

Menurut beliau, dalam kenyataan bertarikh 6 Januari lalu, 1MDB mengakui bahawa nilai keseluruhan kontrak pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan tentera itu adalah RM2.7 bilion dan baki pembiayaan untuk membayar kontraktor adalah RM1.9 bilion.

Mengambil kira bahawa 1MDB telah menerbitkan Sukuk Murabahah berjumlah RM2.4 bilion untuk membiayai kerja-kerja itu, Rafizi mempersoalkaan sama ada 1MDB hanya
membelanjakan RM800 juta bagi kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan-
pangkalan tentera itu.

Ini kerana daripada RM2.7 bilion jumlah keseluruhan projek, 1MDB masih perlu membayar RM1.9 bilion kepada kontraktor.

“Ini bermakna sejumlah RM1.6 bilion dari Sukuk Murabahah yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kerja-kerja itu tidak digunakan bagi tujuan itu. Ke mana dana berjumlah RM1.6 bilion ini dan bagi tujuan apa ia telah digunakan?” soal beliau.

Rafizi yakin 1MDB tiada pilihan lain kecuali melibatkan pihak swasta di dalam urusniaga melibatkan BMSB sedangkan syarikat itu telah pun mencagarkan kontrak-kontrak sebagai sebahagian dari terbitan Sukuk Murabahah.

“Apabila pihak swasta itu pula melibatkan syarikat berkaitan Kerajaan China, sudah tentu ini menimbulkan pertanyaan sejauh mana keterlibatan mereka di dalam keputusan-keputusan mengenai pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan tentera kerana syarikat China itu kini adalah pemilik bersama BMSB yang dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja tersebut,” ujarnya.

Rafizi menegaskan bahawa 1MDB tidak boleh lari daripada menjawab setiap persoalan yang timbul dan beliau akan terus menyelidik supaya perkara ini dibawa ke pengetahuan umum.