Apakah penghujung isu Oktoberfest? Macam dah ‘slow’ pula bantahan dan marah-marah. Kita saksikan sama-sama nanti.
Saya pun terheret sama memikirkan isu ini apabila secara terpaksa memberi komen-komen di group whatsapp dan komen balas di FB.
Apabila sahabat saya memberi komen pertanyaan kenapakah Pakatan Harapan (PH) beriya menyokong pesta ini, saya agak tersinggung. Mungkin kerana sudah terkelu dengan kenyataan media Setiausaha Agung (SUA), maka begitu pula arah perbahasannya? Tidak pula mahu bertanya, “Eh kenapa lemahnya parti Islam? Sudah lupa Palu?”
Semua maklum, isu ini bukan dimulakan MCA melalui Star. Bukan oleh Umno melalui Utusan. Bukan oleh DAP ‘menaiki’ media roket. Tidak juga orang Amanah atau PPBM. Ia dimulakan oleh orang Pas dan PU.
Mulanya pun bukan mengajak manusia insaf dengan dakwah penuh hikmah, sebaliknya serangan demi serangan dilepaskan. Ia sudah dipolitikkan. Sangat jelas.
Masakan orang-orang PH mendiamkan diri khususnya Amanah. Bangkitlah mereka menjelaskan persoalan hak, peraturan dan kawalan yang dilakukan sebagai kerajaan.
Apa hujah penyerang? Palu, bala, mabuk dan seumpamanya. Kemudian tuduhan dan celaan.
Saya kira hujah-hujah tu masi’ valid’ untuk dihalakan kepada SUA parti sendiri dan hukumlah beliau dengan celaan yang sama. Namun ia pasti tidak akan berlaku. Dan di situlah gambaran isu dipolitikkan terserlah.
Sahabat saya tadi mesti faham perbezaan antara menyokong Oktoberfest, memberi kebenaran Oktoberfest, memberi hak non-muslim, menyokong kebenaran memberi hak, menyokong keputusan kerajaan, menggalakkan Oktoberfest dan seumpamanya.
Kita sebagai muslim insaf, semua berada pada premis yang sama bahawa arak adalah haram, ia tiada manfaat, minumnya membawa mabuk, risiko amat bahaya jika memandu dan kita masih benarkan arak dijual oleh non muslim kepada non muslim di seluruh tanah air Malaysia yang indah ini termasuk 35 premis di Kelantan.
Tidaklah pula, minum arak di Kelantan tidak memabukkan dan jika memandu tidak membahayakan?
*Pandangan penulis tidak mewakili pendirian penerbit.