Kebakaran saluran gas, kerajaan Selangor aktifkan PPS untuk bantu mangsa

Oleh KIM SYAZIE

Gempar pagi ini apabila Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kebakaran berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor.

Petronas memaklumkan saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan telah dimaklumkan.

Memetik Bernama, usai kejadian tersebut kerajaan Selangor telah mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.

Ini adalah untuk menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Dalam satu hantaran menerusi laman X, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan PPS itu dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

“Pihak bomba sedang dalam proses mengawal kebakaran dan telah mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan sekitar.

“Unit Pengurusan Bencana Daerah telah mengaktifkan PPS di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terlibat sementara waktu sehingga keadaan pulih dan terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Pengurusan Bencana Selangor Mohd Najwan Halimi dalam kenyataan memaklumkan terdapat beberapa rumah yang terjejas.

Rumah di Kampung Kuala Sungai Baru didakwa terbakar susulan insiden berkenaan, namun jumlahnya masih belum dikenal pasti.

“Ada juga mangsa yang terperangkap di dalam rumah itu dan usaha menyelamatkan sedang giat dijalankan.

“Sementara itu mangsa yang telah diselamatkan dibawa ke PPS berkenaan dan terdapat beberapa mangsa yang melecur serta menunggu ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Buat masa ini, pihak masjid sedang membantu mangsa,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas .

Dianggarkan panjang saluran terbakar 500 meter dan berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.

Baca juga: Orang Sabah je boleh ‘relate’! Lelaki beli bagasi kosong dan borong roti Gardenia buat ramai terhibur