Sesuatu karya walaupun perlu diberikan kebebasan, ianya perlu juga mengambilkira batas-batas agama dan budaya.
Kenyataan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) yang mengecam siasatan terhadap pelakon Zul Arifin dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung video salah satu adegan lucah dalam drama ‘Perempuan Itu’ yang dimuat naik dalam media sosial menjadi satu perkara yang sedang diperkatakan tatkala ini.
Faiz Fadzil, Adun Permatang Pasir, dalam kenyataannya hari ini berkata, sesuatu karya walaupun perlu diberi kebebasan, namun ia perlu juga mengambilkira batas-batas agama dan budaya.
“Orang Melayu dalam negara ini berpegang kuat dengan ajaran Islam dan amat sensitif dengan unsur-unsur maksiat sebegini rupa, lagipun budaya Melayu yang penuh dengan kesopanan tidak harus dipesongkan dengan budaya asing yang dilihat negatif.

“Mengambil. kira masyarakat Malaysia yang majmuk, moral rakyat seluruh masyarakat perlu dipelihara supaya keharmonian dapat terus dipupuk.
“Walaupun apa jua kebebasan yang diperjuangkan, Perkara 10 (1) dan (2)(a)Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kebebasan fikiran dan ekspresi tertakluk kepada undang-undang.
“Maka pihak autoriti digesa untuk menyiasat drama tersebut dan mengambil langkah sewajarnya termasuk menetapkan garis panduan standard supaya plot-plot seumpama demikian tidak berulang lagi, ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, filem atau karya seni merupakan satu wahana pendidikan yang berkesan dan adalah perlu diterapkan nilai-nilai moral serta visi yang boleh merangsang pemikiran rakyat, terutamanya golongan muda bagi memastikan kemajuan negara dapat dibina tanpa memprejudiskan asas moral.
Sebelum ini tular sedutan drama ‘Perempuan Itu’ yang memaparkan aksi pelakon tidak senonoh sehingga mendapat bantahan ramai pihak.