Lambakan tembikai di Kelantan ketika ini menyebabkan harga buah tempatan itu jatuh lagi sehingga mencecah 80 sen sekilogram.
Seorang pengusaha tanaman tembikai di Pasir Mas mendakwa, ada kalangan pemborong menawarkan harga tidak masuk akal sehingga 70 sen sekilogram untuk tembikai gred A.
Hasbilah Mat Yaacob, 45, berkata, tindakan itu amat mendukacitakan buat pengusaha tembikai tahun ini yang berdepan lambakan buah.
“Bayangkan harga yang ditawarkan bagi gred A hanya 70 sen sahaja di kebun sedangkan itu adalah harga belasan tahun lalu.
“Mereka tawarkan harga serendah itu disebabkan ada dalam kalangan pengusaha yang bersetuju kerana mahu menghabiskan bekalan.
“Sedangkan untuk mendapatkan semula harga modal, kami perlu menjual sekurang-kurangnya RM1.50 bagi sekilogram untuk buah tembikai gred A. Itu belum lagi kira untung, sebaliknya hanya modal sahaja,” katanya memetik Harian Metro.
Menurut Hasbillah, penjual tembikai sebelum ini hanya 300 orang sahaja, namun ia meningkat sehingga 600 orang tahun ini.
Katanya, semua pengusaha mahu menanam tembikai disebabkan harga tahun lalu adalah yang paling tinggi sehingga RM4 sekilogram.
Namun mereka tidak menyangka apabila terlalu ramai yang menanam sehingga tidak tahu mahu menjual tembikai ke mana.
Baca juga: Seharian pakai ‘contact lense’ pergi beraya, sekali tanggal warnanya lekat terus di mata