Seorang wanita meluahkan kekecewaannya apabila mendapati wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM10,000 yang diperuntukkan untuk pendidikan anak mereka, habis digunakan tanpa pengetahuannya.
Apa yang mengejutkan, ia diguna oleh anak lelaki mereka sendiri yang kini berusia 19 tahun.
Menerusi perkongsian di media sosial, wanita berkenaan berkata wang itu adalah hasil tabungan sejak anaknya kecil, termasuk duit raya dan simpanan yang dikumpul mereka suami isteri demi masa depan anak.
“Semalam aku baru sedar RM10,000 duit yang aku dan suami simpan dalam akaun ASB anak kami lesap.
“Tahu siapa yang curi? Anak kami sendiri. Boleh anda bayangkan apa perasaan kami? Hancur luluh hati kami dikhianati anak sendiri,” tulisnya.
Menurut wanita itu, akaun ASB tersebut sememangnya dibuka khas atas nama anak sejak kecil, dan dibiayai bersama oleh dia dan suami.
Dia hanya menyedari kehilangan wang itu selepas menerima penyata terkini yang dihantar ke rumah.
“Apabila anak umur 18 tahun, automatik akaun itu di bawah nama dia. Kita sebagai penjaga pun tak dapat nak akses akaun tu.
“Semalam penyata ASB sampai dekat rumah. Jadi semalamlah baru sedar duit simpanan untuk pendidikan dan kecemasan lesap anak kerjakan senyap-senyap,” luahnya lagi.
Meskipun secara teknikal wang tersebut kini hak mutlak anaknya selepas berusia 18 tahun, wanita itu tetap rasa terkilan kerana wang berkenaan digunakan untuk tujuan membazir seperti membeli gajet dan pakaian mewah.
“Dia beritahu, ingat itu duit dia. Memang ada duit raya dia dalam tu tapi sebahagian besar duit yang ayah dia park dalam akaun tu untuk kegunaannya sambung degree nanti atau untuk apa-apa kecemasan. Ambil senyap-senyap tak inform tu curi la.
“Yang nampaknya, (beli) iPhone. Kasut berpasang-pasang, baju berhelai-helai walaupun mak bapa setiap tahun ada belikan juga.
“Apabila nampak dia belanja mewah, tanya mana dapat duit, dia kata ada buat side income di hostel,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, rata-ratanya bersimpati namun mencadangkan agar pasangan itu tegas memberi pengajaran kepada anak mereka.
Antara saranan yang dikongsi termasuk menghentikan bantuan kewangan serta menyuruh anak itu belajar berdikari.
Baca juga: Si bulus peliharaan maut dibaham ular, sayu tengok pak cik ini ubat rindu di kafe kucing