Anak kepada seorang ahli Parlimen di Melaka didakwa menumbuk rakan lamanya di sebuah rumah di Pernu pada 2 Mei lalu.
Lelaki itu juga dikatakan menghantukkan kepalanya ke muka mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bahagian hidung serta meludah mukannya, lapor BH hari ini.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu menyaksikan mangsa dihubungi lelaki tersebut dengan kata-kata kesat serta diminta datang ke rumahnya.
Dikatakan, perselisihan faham berlaku antara lelaki itu dengan mangsa yang dikatakan bersikap kurang ajar terhadap ibunya ketika berada di sebuah kedai ikan bakar di Umbai sebelum itu.
“Ketika sampai di rumah berkenaan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum lelaki itu menumbuk kepala mangsa,” dakwa sumber dipetik BH.
Dalam kes berkaitan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilapor mengesahkan menerima laporan dibuat pengadu pada 6 Mei lalu di Balai Polis Kandang.
Menurutnya, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.