Tular sebelum ini mengenai pelancong China yang memuat naik video seorang anggota polis yang memeras ugutnya kerana gagal menunjukkan pasport.
Dalam video yang tular, jelas terlihat anggota itu dengan berlatar belakang papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman berhampiran bulatan Dato’ Onn.
Video itu dimuat naik di akaun TikTok @cs_kuan, wanita tersebut menjelaskan bagaimana teksi yang dinaiki mangsa dihentikan oleh peronda polis.
Wanita tersebut diminta untuk menyerahkan dokumen pengenalan dirinya dan dia gagal mengemukan dokumen lapor Astro Awani.
Anggota terbabit dikatakan memeras ugut dan selepas beberapa siri ‘rundingan’ polis berkenaan akhirnya bersetuju untuk menerima wang RM200.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, polis telah mengenal pasti anggota dan individu yang terlibat dalam kejadian itu.
“Kita akan panggil mereka untuk direkodkan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan.
“Selepas kertas siasatan lengkap, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengugut.
Jika sabit dengan kesalahan, anggota polis itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Siasatan juga katanya dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.
Pesalah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hati kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Baca juga: Pendaki hilang masih belum ditemui, keluarga tawar ganjaran sebanyak RM50,000