Kecoh telefon pelajar MRSM dirampas, bekas penuntut pula disaman lepas dedah kes guru pedofil

Oleh WAN SITI AMINAH

Tular di media sosial semalam berhubung dakwaan telefon bimbit milik semua pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Tumpat dirampas oleh pihak sekolah.

Difahamkan, tindakan tersebut diambil susulan pendedahan mengenai kes pedofilia melibatkan seorang guru terhadap penuntut maktab tersebut di laman media sosial.

Pihak sekolah juga didakwa cuba ‘mendiamkan’ pelajar daripada membuat laporan mengenai perlakuan tidak senonoh guru berkenaan dengan alasan menjaga maruah.

Berdasarkan hantaran yang tular di laman X, pelajar MRSM juga dikatakan menerima arahan memadam bukti di telefon bimbit mereka membabitkan kes pedofilia tersebut.

“Pihak sekolah lebih mengutamakan perkara lain (jaga nama baik) dari keselamatan gadis-gadis ini. Jadi bantu kongsi tag (#24againstpredators) supaya kerajaan beri perhatian,” ciap seorang pengguna laman media sosial X.

Tag #24againstpredators telah menjadi isu nombor satu dalam senarai sohor kini di laman X di mana ia dibanjiri dengan pendedahan pelajar dan bekas penuntut MRSM mengenai guru terbabit.

Terdahulu, kes pedofilia itu mula terbongkar apabila seorang bekas penuntut MRSM meluahkan ketidakpuasan hatinya kerana seorang guru masih dibenarkan mengajar di sekolah itu.

Guru terbabit didakwa telah mula menganggu pelajar perempuan di sekolah tersebut bermula sedekad yang lalu namun tindakan tegas tidak pernah diambil terhadapnya.

Bekas penuntut MRSM itu turut memuat naik beberapa tangkap layar memaparkan pesanan yang tidak sopan daripada guru itu kepada pelajar berumur belasan tahun.

Lebih mengejutkan, perbuatan guru tersebut dikatakan sudah menjadi ‘rahsia umum’ hingga penuntut perlu menyampaikan pesan kepada pelajar baharu agar berjaga-jaga.

“Ketika saya berumur 13 tahun, senior saya memberi amaran tentang seorang guru. Katanya guru itu sering menghantar pesanan berbaur lucah kepada pelajar yang dianggapnya menarik.

“Apabila sudah menjadi senior, saya pula yang perlu menyampaikan pesanan kepada pelajar junior yang lain. Masih belum terlambat (buat pendedahan), tak kisah berapa lama kamu semua sudah meninggalkan sekolah.

“Saya juga mangsa, begitu juga kawan-kawan baik saya. Tolonglah kongsi cerita kami, teruskan bercakap tentang ‘raksasa’ ini. Tweet (buat ciapan) mengenai guru ini. Jangan biarkan sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, bekas penuntut terbabit memberitahu dirinya telah disaman sebanyak RM3 juta namun tidak mendedahkan sama ada tuntutan tersebut dari pihak MRSM atau guru terbabit.

Sebelum ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memberitahu pihaknya telah memulakan siasatan terhadap kes berkenaan susulan menerima laporan di Balai Polis Tumpat.

Kes bagaimanapun disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk penggunaan tidak wajar fasiliti atau perkhidmatan rangkaian untuk membuat atau menyebarkan komen dalam talian.

Baca juga: Kongsi video seolah-olah pergi umrah sekali, Ruhainies berang diserang netizen, rupanya tengah ‘shooting’