Kecuaian mungkin faktor penularan Covid-19 di Sekolah Seri Puteri

Oleh ARIF ATAN

Isu para pelajar disahkan positif Covid-19 di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya.

Jujurnya, saya merasa amat amat sedih dengan apa yang berlaku dan hasil dari laporan awal yang saya baru terima sebentar tadi dari pihak tertentu, saya agak kecewa dengan apa yang berlaku.

Pada hemat saya, mungkin boleh dikategorikan sebagai satu kes kecuaian (negligence) yang tidak sepatutnya berlaku dari awal.

Berdasarkan laporan awal itu juga, saya tidak menolak berkemungkinan wujudnya elemen kesalahan “tort of misfeasance in public office”.

Di sini tidak menjadi hasrat saya untuk menggunakan insiden malang ini untuk bermain “blame game”.

Bagaimanapun, antara perkara yang diadukan kepada saya setakat ini antaranya:

a. Pihak Sekolah dan PKD Sepang dikatakan gagal menguruskan kes Covid-19 pertama dari seorang guru yang didakwa telah menyebabkan atau menjadi punca merebaknya gejala itu ke seluruh sekolah.

b. Dikatakan juga tiada sanitasi dibuat oleh pihak sekolah dan KKM.

c. Para pelajar dikatakan telah melakukan usaha sanitasi secara bersendiri dengan prasarana yang ada pada mereka.

d. Dikatakan juga para ibu bapa pelajar (saya tidak pasti adakah pihak PIBG sendiri mempunyai maklumat tentang kes ini dari awal lagi) juga tidak dimaklumkan dengan sebarang maklumat sejak kes pertama dikatakan berlaku sejak dua minggu lalu.

Pihak Pusat Khidmat Parlimen Sepang sedang cuba meverifikasikan aduan-aduan tersebut di atas.

Saya sendiri -apabila hanya dimaklumkan hal ini pada pagi ini dan membaca laporan media – telah mengarahkan para pegawai saya untuk cuba mendapatkan laporan penuh kes ini dari kesemua para pemegang taruh dengan kadar segera bagi membolehkan saya membangkitkan isi ini di Parlimen insyaAllah.

Saya juga insyaAllah akan memfailkan Usul Khas di bawah Aturan 18 Peraturan Mesyuarat berkenaan isu ini bagi mendapatkan jawapan dan pencerahan telus dari pihak KKM berkenaan isu ini dan juga penyelesaian segera isu ini.

Sementara itu, saya dengan rasa sedih dan hiba mengucapkan salam takziah kepada para pelajar yang disahkan positif Covid-19 (termasuk ibu bapa mereka) dan meminta rakyat berdoa agar mereka semua sihat semula seperti sediakala. Amin.