Kedah terputus bekalan air, rakan MB angkat bendera putih minta pertolongan?

Oleh BORHAN AHMAD

Kesal dengan masalah bekalan air di Kedah, seorang rakan Menteri Besar Kedah yang menamakan dirinya Abang Che Ani mengangkat bendera putih selepas empat hari tiada air.

“Kami angkat bendera puteh hari ini, tak dapat berunding dah,” kata Che Ani menerusi rakaman video yang ditujukan khas kepada Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah.

Menerusi rakaman video yang kini tular itu, Abang Che Ani berkata, beliau adalah rakan MB dulu yang tinggal di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri Air Hitam.

“Sudah 4 hari tak dapat air. Ada 2 orang orang tua dalam rumah ini. Seorang tu OKU dah tak mandi 2 hari dah,” kata Che Ani sambil memegang bendera putih dengan berlatar belakangnya dua orang wanita berusia di belakangnya.

Menurut beliau, ketika hari video itu dirakamkan, sudah lebih 20 kali beliau menelefon Sada (Syarikat Air Darul Aman) namun tidak ada jawapan.

“Ambil tahulah masalah kami ini YAB. Dulu kita sama-sama berjuang. YAB sanggup ke Kemboja dan merata dunia untuk membela masyarakat yang susah tetapi di Kedah apa dah jadi,” kata Che Ani dalam rakaman video itu.

“Sada sekarang ini telefon haram tak angkat. Bertindak lah segera,” kata beliau merayu-rayu.