Pelakon kacak Indonesia, Nino Fernandez berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi rakaman memaparkan dirinya menaiki pesawat pergi balik untuk ke Malaysia.
Mana tidaknya, kedatangan Nino ke Malaysia bukanlah di atas urusan pekerjaan mahupun melancong sebaliknya hanya mahu membelikan nasi lemak buat kekasih hatinya sebelum pulang semula ke Indonesia.
Perjalanan itu turut dirakam dan dimuat naik di platform TikTok menerusi hantaran video yang berdurasi satu minit 38 saat bersama kapsyen ringkas ‘belikan nasi lemak’ di akaun miliknya.
Rakaman itu dimulakan dengan perbualan Nino bersama kekasih hatinya iaitu Steffi Zamora yang juga merupakan seorang pelakon di mana wanita berkenaan meluahkan keinginannya untuk memakan nasi lemak.
“Sayang mahu nasi lemak dong. Nasi lemak yang enak,” kata Steffi ataupun nama sebenarnya, Stefhanie Zamora Husen dalam nada manja menerusi video yang berjaya meraih 3.6 juta tontonan itu.
Tanpa membuang masa, Nino segera bangun dari tempat duduknya dan menukar pakaian lalu keluar rumah untuk menaiki kenderaan menuju ke lapangan terbang sebelum berlepas ke Malaysia dengan pesawat.
Selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nino kemudian menggunakan perkhidmatan tren KLIA Express untuk ke ibu kota sebelum menempah e-hailing ke lokasi restoran nasi lemak.
Nino kemudian memilih menu Nasi Lemak Basmathi bersama lauk ayam berempah yang berharga RM15.40 untuk dibungkus dan dibawa pulang ke Indonesia dengan menaiki pesawat.
Tidak terhenti di situ, Nino juga memanaskan semula nasi lemak berkenaan selepas tiba di rumah dan menggoreng telur mata sebelum dihidangkan di dalam pinggan untuk dimakan bersama kekasih hatinya.
Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati perkongsian tersebut sudah meraih sebanyak 214,500 tanda suka dari pengguna TikTok yang mana rata-ratanya memuji kesungguhan Nino memenuhi keinginan kekasihnya.
Ramai juga pengguna dalam kalangan wanita meluahkan rasa cemburu dengan layanan istimewa diterima oleh Steffi namun tetap mengirimkan doa supaya hubungan pasangan itu sampai ke jinjang pelamin.