Keluarga Altantuya menang tuntutan saman RM5 juta

Oleh KIM SYAZIE

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan empat defendan termasuk Kerajaan Malaysia membayar RM5 juta kepada keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematian model Mongolia itu pada 2006.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas mendapati pihak plantif iaitu tiga ahli keluarga Mongolia berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.

Defendan kedua ialah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar dan denfendan ketiga, Abdul Razak Baginda.

Ketika membaca penghakimannya, jumlah ganti rugi RM5juta disifatkan adil dan memadai berbanding RM100 juta yang difailkan yang disifatkan adalah berlebihan dan tidak boleh ditakfrifkan berdasarkan prinsip sahaja.

“Berdasarkan fakta dan undang-undang, kerajaan selaku defendan keempat merupakan majikan kepada defendan pertama dan kedua, bertanggungjawab terhadap tindakan mereka yang mencabuli undang-undang.

“Mereka telah menjalankan tugas sebagai pegawai polis, telah menggunakan sumber yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia dan penghakiman dibuat atas liabiliti terhadap keempat-empat defendan,” jelasnya menerusi prosiding yang dijalankan secara aplikasi Zoom.

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM25,000 kepada setiap plaintif.

Pada 4 Jun 2007, bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga sebagai plaintif pertama hinge keempat, memfailkan tuntutan saman berkenaan.

Mereka mendakwa kematian model itu menyebabkan trauma mental dan psikologi, melayakkan kesemua plaintif dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teruk serta teladan.

Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan