“Keluarga mentua suka meminta macam aku lubuk duit, suami pula ‘back-up’ mereka”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita sudah mula merasa rimas dengan sikap keluarga mentuanya yang gemar meminta-minta setiap kali pulang ke kampung bersama suami.

Tidak berniat mahu menjadi menantu ataupun ipar yang kedekut, wanita dikenali sebagai Eton itu berpendapat bahawa keluarga mentuanya itu semakin berlebihan.

Nekad mahu menjauhkan diri, berikut perkongsian Eton yang mengambil tindakan tegas sebaik sahaja menyedari dirinya telah diambil kesempatan oleh keluarga suaminya.

“Hai pembaca, aku Eton. Hanya mahu meluahkan rasa yang terbuku dihati agar aku rasa kurang sesak. Aku seorang ipar yang berubah menjadi pendiam. Asalnya, agak peramah juga. Senang masuk dengan sesiapa sahaja. Begitu jugalah ketika aku baru mendirikan rumah tangga. Senanglah nak berborak dengan keluarga mentua.

“Tetapi semakin lama, aku menjadi semakin pendiam dengan mereka. Orang nampak aku sudah kurang mesra, namun ada puncanya. Aku bekerja. Ekonomi aku dan juga suami agak stabil. Waktu baru berkahwin, banyak kalilah kami balik kampung. Boleh dikatakan kena balik setiap bulan atas banyak sebab.

“Antaranya kenduri saudaralah, tak sihatlah, perjumpaan keluargalah. Senang cakap semua acaralah keluarga mentua nak kami balik. Jadi kami pun baliklah. Setiap kali pulang ke kampung, mesti bawa buah tangan. Kadang-kadang belikan barang dapur atau belanja makan. Sampailah aku rasa macam diambil kesempatan.

“Mana tidaknya, ipar-ipar rajin buat rancangan makan di luar setiap kali berkumpul. Tetapi yang tukang bayarnya aku dan suami. Selalu kena faham, orang lain gajinya tak sebanyak kami. Pelbagai alasanlah. Ada adik-beradik yang isterinya suri rumah, laki bini bergaji rendahlah, anak ramailah. Tak faham juga aku.

“Kalau sedar diri macam itu, patutnya makan sahajalah di rumah. Jangan ‘demand’ nak makan luar. Yang tak membayar pula pesan macam-macam. Mak mentua pula sokong anak-anak dia sahaja. Katanya kalau belanja adik-beradik makan, nanti murah rezeki. Persoalannya, adik beradik lain tak nak murah rezeki ke?.

“Pejabat aku dekat dengan pusat beli belah. Kalau Bath & Body Works buat promosi, aku rajinlah beli. Wangi. Aku berikanlah satu pencuci tangan dekat mak mentua. Dia sukalah sebab wangi. Jadi setiap kali ada promosi aku beli dan belanjalah dia sekali. Tiba-tiba ipar pun suka juga dan minta aku belikan untuknya.

“Baru-baru kahwin tak tahu lagi perangai mereka. Jadi aku belikanlah dan beritahu harga. Sampai ke sudah tak bayar. Ipar ingat aku belanja dia juga agaknya. Jadi aku memang tak belikan lagi selepas itu. Tak pasal-pasal kena ‘sponsor’. Mak mentua tanya pun aku cakap pencuci tangan dekat kedai itu habis.

“Tahun kedua kahwin, aku pernah tegur kasut mak mentua yang koyak sedikit waktu kami nak bawa dia berbeli belah. Ingatkan dia tak perasan, boleh tukar pakai kasut lain sebelum keluar. Tiba-tiba ipar ‘sound’ suruh aku belikan kasut baharu. Aku sengih sahaja waktu itu. Tetapi dalam hati tertanya, kenapa bukan ipar aku belikan.

“Ipar itu kan anak dia sendiri. Kenapa nak minta aku juga yang beli. Aku juga pernah belikan mak mentua bekas plastik ‘Tupperware’ yang sesuai masuk dalam peti sejuk beku itu. Beli satu set, tetapi makin lama berkurang pula. Tanya mak mentua rosak ke? Rupanya ipar aku berkenan dan minta sedikit nak pakai dekat rumah dia.

“Aku beli set itu ada enam bekas. Tinggal empat dan mak mentua minta belikan lagi, tak cukup nak letak barang dalam peti beku katanya. Kalau tahu perlu banyak bekas, patutnya janganlah beri dekat anak. Mereka mampu sahaja beli sendiri. Kenapa nak minta dengan aku juga. Selepas itu aku jadi kurang bertanya.

“Dahulu aku rajin juga kongsi tempat makan menarik atau tempat jalan-jalan sekitar rumah mak mentua dalam kumpulan sembang keluarga. Kalau mereka pernah pergi, bolehlah beri pendapat. Tetapi berpusu-pusu mesej masuk bertanyakan bila aku nak belanja. Terkedu aku. Aku jawablah, sengaja kongsi kalau pernah makan.

“Ipar cakap marilah pergi ramai-ramai. ‘Open table’ waktu hari jadi atau masa dapat bonus. Aku tak boleh terima gurauan macam ini. Sebab setiap gurauan, mesti adalah unsur meminta. Selepas itu menuntut. Akhirnya aku diam sahaja, mudah. Tak kongsi apa-apa lagi tarikan berdekatan rumah mentua. Aman sedikit hidup aku.

“Mula-mula kahwin, aku selalu beri ucapan hari jadi dengan gambar kek yang gerak-gerak. Kadang-kadang gambar kotak hadiah yang keluar perkataan selamat hari jadi itu. Mesti adalah yang cakap minta belanja betul-betullah, nak hadiah serta sewaktu dengannya. Gurauan apakah ini? Selepas kejadian itu, aku sudah pandai.

“Beri ucapan sepatah sahaja. Aku pastikan tiada gambar kek ataupun kotak hadiah. Penat, sakit hati dengan orang suka meminta ini. Aku perasan juga keluarga mentua suka buat-buat susah depan suami. Contohnya kalau lalu di depan orang jual durian, mulalah masing-masing teringinlah. Konon anak suka, tetapi tak mampu beli.

“Hakikatnya mampu sahaja, tetapi memang suka ‘pau’ orang. Suami pula jenis yang tak sampai hati. Nak-nak kalau kata budak-budak yang suka. Keluarga mentua akui mereka tak kaya. Tetapi orang ‘tak kaya’ mampu ke makan dekat luar selalu, tapau nasi beryani, nasi arablah. Beli kek Baskin Robbin dan Secret Recipe?.

“Baju mereka pun, busuk-busuk jenama Uniqlo. Baju raya berpasang-pasang. Siap berjenama lagi. Tetapi depan suami mengadu duit habis bayar yuran sekolah, kereta rosaklah, tiada duit beli lampin anaklah. Waktu berduit memang tak menyimpan ke? Bukan main upah orang buat dekorasi khemah untuk sambut hari jadi di taman.

“Tak membazir ke namanya kalau kau tak berduit. Alih-alih waktu kecemasan, tiada duit pula. Banyak lagi hal keluarga mentua buat, tetapi malas nak ingat. Aku rasalah, suami sedar aku semakin diam diri setiap kali berjumpa keluarga dia. Suami adalah tanya, tetapi susahlah nak cakap. Mesti kami suami isteri yang bergaduh nanti.

“Suami biasalah, mesti nak menangkan keluarga mentua. Dari aku sakit hati selepas berkongsi perasaan, baik diam sahaja jaga hati sendiri. Suami memang cepat rasa kasihan kepada keluarga dia. Sangat mudah termakan muslihat keluarga dia yang suka acah-acah susah itu ini. Kononya miskin serba serbi.

“Kalau aku ‘sound’ mengenai keluarga dia yang ada duit berjimba suami cakaplah itu sekali sekala sahaja. Kononnya belanja keluarga kecil mereka. Aku tak kisahlah kalau mereka nak berjimba. Nak simpan duit sendiri pun, suka hati merekalah. Tetapi yang sakit hatinya, sibuk meminta daripada aku dan suami. Macamlah kami ini lubuk duit.

“Aku bersyukur kami stabil. Tetapi kami juga perlu berjimat, ada anak-anak yang nak dibesarkan. Besar pendapatan, besarlah komitmennya.  Aku meluah dekat sini sebab tak boleh beritahu suami. Nanti bergaduh sebab keluarga dia sentiasa betul. Kasihan sangat. Kamu semua ada cara tak nak nak bagi suami sedar?.

“Aku tak mahu suami terlalu menjadi lilin kepada orang yang enggan bersyukur dan hanya tahu meminta? Kadang-kadang suami aku menolak juga atau beri sedikit dari yang diminta. Tetapi esok-esok mesti minta lain pula. Pelik tapi benar. Kami ini bukan jenis berat tulang ya. Balik kampung, ada sahaja kerja yang kami perlu lakukan.

“Tetapi yang selalu minta ‘payung’ itulah yang acah ‘diva’. Tak boleh buat itulah, tak boleh buat inilah. Tak laratlah, semua tak boleh. Kalau nak nasihat suruh suami buat hibah, tolong kongsi cara nak beritahu dengan ayat yang sesuai ya. Kadang-kadang aku kasihan dekat suami kalau kurang beramah mesra dengan keluarganya.

“Namun aku juga perlu jaga diri, kesihatan mental dan kewangan kami. Kalau cakap terus-terang, takut suami ingat aku berkira. Untuk rekod, suami juga berikan duit bulanan kepada ibu dan bapanya. Keluarga dia bukanlah susah sangat cuma tak pandai uruskan kewangan. Kalau dapat duit, terus kena belanja keluarga masing-masing.

“Mereka tiada hasrat nak menabung. Sebab esok ada rezeki lain. Tetapi mereka lupa yang langit tak selalunya cerah? Serius aku serabut jenis meminta-minta. Setiap kali telefon, mesti kena buat pemindahan duit atau belikan apa-apa. Jaranglah tak ada. Banyak lagi perangai mereka tetapi tiada manusia yang sempurna. Aku cuma mahu meluah.” Kongsi Eton menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: Mengajar lebih had umur, pesara guru terkilan perlu pulangkan lebih RM21k gaji