Rakyat negara ini diseru memberikan semula kuasa pemerintahan kepada Pakatan Harapan kerana dengan cara itulah negara ini boleh diselamatkan dari terus hilang keyakinan oleh masyarakat antarabangsa.
Seruan itu dibuat oleh para pemimpin Pakatan Harapan yang berkumpul dalam majlis Makan Malam Amal yang dianjurkan oleh AMANAH malam tadi untuk mengumpulkan dana pilihan raya menjelang pilihan raya umum ke 15 (PRU-15).

Mereka penuh yakin, jika PH berjaya mengekalkan pemerintahan selama satu penggal sahaja dan tidak dihentikan melalui Langkah Sheraton, rakyat negara ini tidak akan berbelah bahagi lagi keyakinan mereka terhadap PH.
“Lihatlah di Selangor dan Pulau Pinang. Selepas berjaya memerintah satu penggal selepas pilihan raya 2008, rakyat kedua-dua negeri itu kekal dengan PH sehingga kini,” kata Mohamad Sabu, Presiden AMANAH yang menjadi tuan rumah malam tadi.
Ahli Parlimen Kota Raja itu mensasarkan agar PH mendapat lebih 122 kerusi dalam PRU-15 akan datang ketika pelbagai pihak berkeyakinan ia akan diadakan seawal hujung tahun ini.

Bagi beliau, dengan PH kembali memerintah di Putrajaya, ia akan mengembalikan maruah Malaysia di mata dunia yang kini jatuh merudum.
“Lihatlah siapa yang menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa sekarang… Jokowi (Presiden Indonesia) dan Vietnam yang ekonominya mencanak naik,” kata Mohamad dalam majlis itu yang penuh yakin jika BN kembali berkuasa penuh perangai lama Umno akan menguasai cara negara ini ditadbir yang penuh dengan korupsi.
BN jatuh dalam PRU-14 lalu selepas skandal 1MDB yang menyebabkan nama Malaysia dikenali sebagai negara Kleptokrasi atau negara yang dikuasai oleh perompak dan penyamun.

Malam tadi, pihak penganjur berjaya mengutip lebih RM300,000 yang disasarkan dalam bentuk jualan meja sempena makan malam itu.
“Kalau kita boleh buat tiap-tiap minggu dan kehadiran macam ini, kita tidak akan kekurangan dana lagi,” kata Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim berseloroh ketika berucap dalam majlis malam tadi.

Selepas Mohamad Sabu berucap, majlis lelongan amal pula diadakan untuk mengumpulkan dana.
Ia berupa gambar-gambar menarik aksi pimpinan AMANAH yang dicetak dan dibingkaikan.
Menurut Pengarah Makan Malam ini, Azli Yusof, hampir RM100,000 berjaya dikumpulkan dalam majlis lelongan ini dan menjadikan kutipan malam tadi mencecah hampir RM400,000.