Kemelut Bersatu tidak jadi masalah kepada Umno-MN

Oleh ARIF ATAN

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan partinya tidak menghadapi masalah dengan kemelut Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) sejak Februari lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan menganggap situasi Bersatu ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai hal dalaman parti tersebut.

“Apa pun rakaman atau versi pemberitaan apa yang berlaku dalam PPBM dan PH Februari lalu atau sebelumnya tidak menjadi masalah kepada Umno dan MN (Muafakat Nasional),” katanya di Twitter hari ini.

Malah, Ahli Parlimen Ketereh tersebut menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Itu hal ehwal dalaman parti tersebut (Bersatu). Kita akan terus sokong kepimpinan PM dan tumpu kepada agenda membela rakyat. Cukuplah berpolitik memanjang!” tegas Annuar lagi.

Pada 24 Februari lalu, Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri berpunca daripada banyak sebab termasuk tuduhan bahawa beliau tidak berniat untuk melepaskan jawatan dan dianggap gila kuasa.

Mahathir juga meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu tetapi kemudiannya ditolak oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti pada 26 Februari lalu.

Ekoran itu, Muhyiddin memangku jawatan Pengerusi Bersatu dan dalam masa sama Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ahli Parlimen Pagoh tersebut sebagai Perdana Menteri kelapan, 29 Februari lalu.

Mahathir selanjutnya mengejutkan banyak pihak apabila pada 7 Mac mendakwa masih Pengerusi Bersatu dan mengakui parti bunga raya itu terbahagi dua.