Bekas Naib Presiden PKR yang dipecat, Datuk Zuraida Kamaruddin diperintah oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah.
Hujah Zuraida bahawa bon itu ditandatangani atas alasan dipaksa juga didapati tidak berasas.
Mahkamah memerintahkan bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkenaan membayar kos RM50,000 kepada PKR.
Zuraida, bersama 11 ahli Parlimen lain diketuai bekas timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggalkan parti itu pada Februari 2020 dalam Langkah Sheraton untuk menyokong Bersatu, Umno-BN dan GPS.
Pada September 2020 PKR memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana melompat parti.
Bagaimanapun, pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Pada Disember tahun lalu, Zuraida dan 10 ahli PBM lain dipecat di tengah-tengah perebutan kepimpinan dengan penyandang presiden Larry Sng.
Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan presiden Muafakat Nasional, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada PRU15 lalu, Rodziah Ismail daripada PKR menang parlimen Ampang dengan majoriti 29,681, menewaskan Zuraida (PBM), Ivone Low (MCA), Sasha Lyna (PN), Dr Nurul Ashikin (Pejuang), dan Bryan Lai (Warisan), serta tiga calon bebas.
Baca juga: Rakyat dapat Pakej Rahmah Insurans, Takaful dari kerajaan Malaysia Madani