Kementerian Komunikasi ‘belanja’ anggota PDRM rebat bil telefon sempena Hari Polis

Oleh KIM SYAZIE

Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan insentif Rebat RAHMAH secara one-off buat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara Sempena Hari Polis Ke-218.

Anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar (postpaid) akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan sama ada pada bulan April, Mei atau Jun bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.

Manakala anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar (prepaid) pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara one-off dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Pemberian insentif ini akan memberi manfaat kepada lebih 127,000 orang anggota PDRM.

“Pemberian Insentif Rebat RAHMAH secara one-off kepada anggota PDRM disokong oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com.

“Insentif ini sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI bagi mengiktiraf dan menghargai pengorbanan anggota PDRM atas komitmen dalam menjalankan tugas untuk menjaga kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.

Senarai soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk menerusi laman sesawang Kementerian Komunikasi di pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.

Baca juga: Sempat lagi ke shopping online? Ini tarikh cuti raya semua syarikat kurier