Murid dan warga pendidik yang terjejas akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Selangor bakal menerima Bantuan Khas berjumlah RM1000 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban terutamanya bagi mereka yang telah kehilangan kelengkapan persekolahan termasuk buku teks akibat daripada kejadian itu.
Fadhlina juga memaklumkan bahawa bantuan berkenaan akan disalurkan dalam tempoh terdekat selain meminta pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membantu melancarkan proses, lapor Berita Harian.
Sementara itu, murid sekolah yang terjejas akibat insiden tersebut juga difahamkan belum boleh memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan untuk memastikan mereka bersedia dari segi psikologi dan keperluan sekolah.
“Untuk anak-anak, guru dan kakitangan KPM yang terlibat, kita akan berikan sumbangan RM1,000 seorang. Ini termasuk sumbangan lain untuk bantuan persekolahan. Sebab ada yang ‘total lost‘ (musnah sepenuhnya).
“Barang keperluan sekolah sudah tidak ada langsung dan musnah. Jadi saya minta JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) membantu. Kita akan mengaktifkan pasukan kaunselor di PPS (Pusat Pemindahan Sementara) ini dan pasukan sokongan akademik.
“Apa yang pasti, anak-anak ini belum boleh memulakan persekolahan mereka minggu depan kerana ia bergantung kepada persiapan dan kesihatan mereka. Perkara ini ambil sedikit masa,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Fadhlina berkata sedemikian ketika ditemui oleh pihak media selepas meninjau mangsa yang ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights susulan terjejas akibat insiden kebakaran tersebut.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memaklumkan bahawa bilangan mangsa terutama yang melibatkan warga KPM agak besar iaitu seramai 102 mangsa termasuk lima guru serta kakitangan KPM.
“Empat murid juga masih dirawat di hospital. Insiden ini melibatkan anak-anak dari 23 buah sekolah di sekitar kawasan ini. Untuk itu KPM ambil tanggungjawab penuh jaga kebajikan mereka.” Tegasnya.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan dan PETRONAS akan menyalurkan bantuan segera RM5,000 kepada pemilik kediaman yang rosak teruk serta RM2,500 kepada mereka yang sedikit terjejas.
Baca juga: Menakutkan! Suhu cecah 1,000 darjah Celcius, api setinggi 30 meter