Kemiskinan tinggi di Sarawak: Adakah peruntukan diterima ADUN sampai ke tangan rakyat?

Oleh KIM SYAZIE

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoal mengapa Sarawak masih lagi merekodkan kadar kemiskinan tertinggi meskipun sudah lama diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, pendapatan negeri itu adalah ketiga terbesar di mana Sarawak menyumbang sebanyak
12 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) selepas Selangor da Kuala Lumpur.

Bahkan katanya, peruntukan yang diterima oleh setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak juga adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

“Amat menyedihkan buat rakyat Sarawak di mana Sarawak adalah negeri yang mempunyai rizab simpanan tunai
terbesar di Malaysia.

“Di mana silapnya dalam pengagihan kekayaan negeri ini kepada rakyat Sarawak?

“Wakil rakyat GPS menerima peruntukan setiap tahun sebanyak RM5 juta untuk Projek Transformasi Luar
Bandar (RTP), RM2 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP), RM1 juta untuk Projek Penambahbaikan Rumah
Miskin Sarawak (PPRMS) dan RM1 juta untuk Program Tabung Fasilitasi Pertanian.

“Adakah peruntukan yang diterima oleh setiap ADUN ini benar-benar sampai ke tangan rakyat bagi rakyat menikmati manfaatnya?,” soalnya dalam satu kenyataan pagi ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, negeri Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak merupakan antara negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia.

Empat negeri itu juga katanya, merekodkan kadar kemiskinan tegar tertinggi berbanding negeri lain.

Selain itu, negeri yang mempunyai kadar kemiskinan paling rendah pula adalah Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Shamsul mempersoal, mengapa Sarawak adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia jika ADUN yang berkhidmat menyalurkan peruntukan tersebut untuk negeri itu.