Singapura terkenal dengan undang-undang dadah yang paling tegas di dunia dan sebarang kesalahan jika disabitkan boleh menyebabkan individu dilarang memasuki negara itu secara kekal.
Pernah dipenjara selama selama lima bulan di Penjara Admiralty West, Singapura akibat kes dadah, pelakon Tony Eusoff tak menyangka dia akan dilarang memasuki Singapura seumur hidup.
Meskipun sudah berkali cuba mendapatkan kebenaran untuk memasuki Singapura namun sehingga kini tiada respon diterima lapor Kosmo! Online.
“Setakat ini sudah tiga empat kali juga saya mohon. Tetapi belum ada apa-apa respons. Saya tak salahkan sesiapa. Semua yang berlaku adalah salah saya sendiri. Siapa suruh saya bodoh ketika itu.
“Saya akui saya yang tidak menghormati undang-undang negara mereka. Dah berani buat, kena berani tanggung. Saya reda dan jalani hukuman penjara di sana.
“Tetapi saya bersyukur kerana dibebaskan tiga bulan lebih awal. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah.
“Saya jadikan perkara tersebut sebagai pengajaran dalam hidup saya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Meskipun diharamkan untuk masuk ke negara tersebut, Tony meluahkan rasa syukur kerana drama lakonannya masih boleh ditayangkan di sana.
“Saya dapat tawaran berlakon daripada produksi di sana. Raihan iaitu pengarah filem La Luna melamar saya untuk karya arahannya yang ditayangkan di stesen televisyen di Singapura.
“Yang lebih membuatkan saya terharu mereka sanggup datang ke Malaysia untuk rakam babak saya.
“Dan lebih pelik bila saya menang anugerah menerusi lakonan saya dalam drama tersebut. Hidup ini kadang-kadang memang pelik,” kongsinya.
Baca juga: ‘Babak berkemban, netizen bukan yang paling saya takut’ – Pelakon baru berhijrah dedah risau