Kena tegur suruh jimat air, suami mengamuk tikam isteri sendiri sampai mati

Oleh KIM SYAZIE

Dinasihatkan untuk berjimat mengggunakan air, siapa sangka seorang suami sanggup menikam isterinya sendiri sehingga maut.

Kejadian yang berlaku di Mae Hong Sorn, Thailand itu bermula apabila sang isteri meminta suaminya untuk berhenti menyiram tanaman.

Niat isteri adalah untuk menjimatkan bekalan air bagi keperluan menghadapi musim kemarau yang bakal tiba tidak lama lagi.

Tidak semena-mena, suaminya itu tiba-tiba berang dan bertindak ganas dengan menikam isterinya menggunakan pisau.

Menurut pegawai polis, pihaknya menerima laporan pada Selasa lalu kira-kira 10.30 pagi sebelum segera bergegas ke lokasi kejadian.

Wanita yang berusia 55 tahun itu ditemui maut di luar pintu depan rumah dengan beberapa kesan tikaman di paha kanannya.

Polis yang bertugas juga menggeledah rumah pasangan itu dan berjaya menemui dadah dipercayai milik suami mangsa.

Difahamkan, tertuduh iaitu suami mangsa telah melarikan diri ke dalam hutan sejurus selepas kejadian berdarah itu.

Polis dan penduduk tempatan sedang bekerjasama dalam operasi memburu suspek kerana khuatir lelaki itu akan membunuh diri bagi mengelak hukuman.

Polis Thailand yakin, suspek akan ditahan pada masa terdekat berikutan lelaki itu tiada wang dan masih belum makan semenjak insiden berkenaan.

Baca juga: “Aku dah la selalu minum ubat batuk ni, KKM pulak haramkan!”