Kenaikan kos sara hidup: Khairy tidur dalam kabinet, kata Pemuda Amanah

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyentuh kenaikan kos sara hidup rakyat dalam ucapan dasar pergerakan itu dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 tidak ubah seperti ‘menepuk air didulang terpercik muka sendiri’ demikian pandangan Ketua Pemuda Amanah Negara (Amanah), Mohd Sany Hamzan.

“Persoalan paling mendasar yang bermain dalam fikiran masyarakat awam ialah ‘Khairy buat apa dalam kabinet?’ tidak termasuk dikalangan netizen yang memperolokkan beliau sebagai ponteng atau tertidur sewaktu kabinet memutuskan untuk menaikkan kadar tambang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan itu,  adalah sebahagian daripada kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab menaikkan kadar tambang pengangkutan awam.

Menurut Mohd Sany lagi, dunia anak muda hari ini dipenuhi dengan maklumat dan budaya pemikiran kritis. Oleh itu tidak mudah mereka mempercayai politikus yang hanya berucap berdegar-degar di hadapan penyokong namun katanya,  ‘ layu dan menikus’ ketika suara mereka ditagih dalam membantah polisi yang menjejaskan ‘periuk nasi’ rakyat.

“ Anak muda hari ini menagih aksi dan tindakan sebagai penanda aras dan integriti seorang pemimpin.

“Jika sekadar bercakap, semua orang boleh bercakap. Perkara paling bernilai bagi orang politik ialah melaksanakan setiap tutur kata yang diucapkan,” ujarnya.

Semalam Khary dalam ucapan dasarnya di PAU mengakui rakyat sudah tidak boleh menerima tindakan kerajaan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan serta kadar tol.
Khairy juga mengesa Barisan Nasional (BN) melihat semula akujanji yang dibuat sebelum ini.

Kata Khairy,”Saya selaku Ketua Pemuda mengingatkan cabinet tentang Aku Janji BN. Kita faham beberapa langkah pedih terpaksa diambil tetapi hakikatnya, rakyat tidak boleh terima lagi dan sudak sampai ke ‘breaking point’.

“Jadi cukup-cukuplah. Jangan ditambah beban rakyat. Jangan dicurah lagi minyak ke atas api kemarahan mereka yang sedang marak membara,” ujarnya.