Kenapa mahu berahsia jika tidak salah, tipu dan rasuah? soal Mahfuz

Oleh BORHAN AHMAD

Para pemimpin politik, rakyat dan Peguam Negara perlu keluar daripada ‘paradigma tua kuno’ yang beranggapan kebocoran dokumen-dokumen tertentu kerajaan akan menyebabkan ekonomi negara lumpuh.

Malah ekonomi negara akan lebih meyakinkan apabila masyarakat antarabangsa mempercayai pentadbiran Malaysia kerana keberanian, keterbukaan dan ketelusan dari sebarang salah laku dan jenayah rasuah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

“Gegak gempita seantero dunia soal kebocoran rahsia kerajaan di Malaysia. Ada pemimpin politik saran pihak berkuasa siasat dan ambil tindakan terhadap mereka yang kononnya bocor maklumat rahsia termasuk wartawan yang melaporkan seperti surat Bank Negara pada TH (Tabung Haji).

“Peguam Negara pula mencadangkan pindaan OSA untuk hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan,” ujar beliau.

Sehubungan itu Mahfuz mempersoalkan ketakutan kerajaan BN dan Perdana Menteri terhadap kebocoran dokumen rahsia kerajaan.

“Apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat? Perkara apa yang rakyat tidak boleh diberi tahu daripada dokumen yang dirahsiakan? Keselamatan negarakah atau penyelewengan rasuah yang membabitkan pemimpin yang mahu dirahsiakan daripada rakyat?” soal beliau.

Beliau berpendapat, Datuk Seri Najib Razak, para pemimpin BN dan Peguam Negara masih terikat dengan paradigma tua kuno yang beranggapan jika tidak dikawal kebocoran dokumen rahsia kerajaan, akan berlaku krisis kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia khususnya terhadap pengurusan kewangan dan ekonomi negara.

Sedangkan apa yang dikawal, jelas beliau adalah keselamatan pemimpin negara yang terlibat dengan salah laku jenayah rasuah, penyelewengan dan salah urus yang terkandung dalam dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau menyarankan agar dokumen rahsia negara yang membabitkan keselamatan dan pertahanan seperti logistik, plan strategi pertahanan negara dan perkara berkaitan dikategorikan sebagai rahsia; namun dokumen pembelian peralatan ketenteraan yang memungkinkan wujudnya salah urus dan rasuah dibebaskan daripada OSA.

Malah tambah beliau, surat teguran Gabenor Bank Negara terhadap TH tidak perlu dilihat sebagai kebocoran rahsia sebaliknya membantu proses semak imbang rakyat bagi memastikan urus tadbir ekonomi dan kewangan negara lebih telus dan berintegriti.

Langkah ini, katanya perlu bagi mengelak ketirisan serta kebocoran wang negara akibat daripada salah laku jenayah rasuah pemimpin negara dan pegawai awam.

“Jangan takut dan berahsia kalau tidak buat salah, tipu dan rasuah,” tegas beliau.