‘Kenapa saya nak buat semua ini pada Bella?’ Siti Bainun nafi bagi makan cili, simbah air panas

Oleh KIM SYAZIE

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali menafikan dia pernah mendera Bella dengan memaksa remaja sindrom Down itu memakan cili dan najis, selain disimbah air panas.

Ketika memberitahu Mahkamah Sesyen, Siti Bainun berkata kejadian seumpama itu termasuk mengikat Bella tidak pernah berlaku.

Menurut Siti Bainun, segala tuduhan perbuatan buruk seperti dikatakan saksi pendakwaan kelima iaitu Yasmin Nahar Mahmood berhubung kejadian tersebut dalam keterangannya sebelum ini adalah sama sekali tidak benar.

“Beri makan cili, simbah air panas, suruh makan najis memang tidak pernah berlaku…tiada keperluan untuk saya buat begitu terutama sekali pada Bella.

“Kenapa kena buat semua ni kepada Bella? Bella tidak pernah buat saya susah,” katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf pada perbicaraan bela diri semalam, seperti dilapor Kosmo!.

Tambahnya lagi, perkara itu tidak perlu berlaku pada Bella malah pada penghuni lain termasuk Yasmin meskipun remaja itu paling banyak bermasalah dan memening kepala.

Mengulas lanjut semasa pemeriksaan utama itu, Siti Bainun turut memberitahu dia juga tidak pernah mengarahkan seorang lagi bekas penghuni Rumah Bonda yang dikenali sebagai Aida dan Yasmin menganiaya Bella.

Pada 14 April tahun lalu, Yasmin, 19, dalam keteranganya memberitahu Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh Siti Bainun.

Yasmin juga memaklumkan Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut.

Semalam Siti Bainun memaklumkan dia lebih menyayangi Bella berbanding anak lain kerana remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) itu disifatkan manja dan kelakar selain tiada keperluan untuk mengambilnya semata-mata untuk mendera.

Perbicaraan bela diri berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Baca juga: ‘Semalam lambat hari ini lambat!’, Hakim sekolahkan Siti Bainun, peguam