Seorang peguam tampil menjelaskan dari sudut undang-undang mengapa pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas membuat hantaran tentang Nurul Izzah.
Pengamal undang-undang, Muhammad Aidil Akmal Sharidan berkata, ia bukan soal hak rakyat, sebaliknya hantaran pempengaruh itu boleh ditafsir sebagai ugutan halus.
Aliff membuat status Facebookmengatakan jika dia memperoleh 20,000 perkongsian, dia akan mendedahkan dari mana Nurul Izzah peroleh duit untuk hidup dan berpolitik.
“Ramai pula minta SCRUT Nurul Izzah. Dia kerja apa? Mana dia dapat duit untuk hidup dan berpolitik? Ada berniaga apa? 20,000 perkongsian hantaran ini aku buatkan. Itu harganya. Korang buat keputusan,” menurut hantaran itu.
Tidak dinafikan Nurul Izzah sebagai tokoh awam memang boleh dipersoal mengenai latar belakangnya, namun jelas Aidil Akmal, ia perlu seiring dengan bukti dan laporan.
Jika seseorang itu membawanya ke media sosial secara terbuka tanpa bukti dan dengan gaya provokatif, ia termasuk dalam kategori gangguan atau cubaan menjatuhkan reputasi.
“Aliff buat posting kata kalau dapat 20,000 share, dia akan dedahkan dari mana Nurul Izzah dapat duit, apa bisnes dia, dan lain-lain. Benda ni boleh dianggap macam ugutan halus: “kalau ramai cukup share, aku akan buka aib dia.”
“Kalau salah, biarlah agensi macam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat. Jangan ajak orang ramai kongsi posting supaya tekanan makin tinggi. Itu bukan soal siasat, itu public shaming,” jelasnya lagi.
Persoalan kedua mengapa SKMM menggunakan Seksyen 233?
Ini kerana menurut Aidil Akmal, undang-undang tersebut melarang orang ramai menggunakan internet untuk mengganggu, aib, mengugut atau menyebarkan benda jelik (yang menyakitkan hati).
“Posting itu boleh jadi ada unsur mengganggu atau jelik kalau cara dia macam nak burukkan seseorang tanpa asas kukuh.
“Tapi Aliff dah buat akuan sumpah (SD) kata dia bertanggungjawab. Tak cukup ke? Tak cukup. SD cuma pengakuan, bukan bukti penuh.
“Pihak berkuasa kena cari bukti lain contohnya mesej, sumber info dan konteks penuh. Macam kes lain juga, tak cukup kau kata “aku buat”, polis tetap kena siasat sebelum dakwa,” terangnya lagi.
Dalam pada itu, peguam muda berkenaan berkata, isu ini bukan tentang politik tetapi tentang tanggungjawab.
Jika cara seseorang itu bersuara boleh jejaskan orang lain tanpa bukti, atau sekadar untuk menaikkan engagement, maka pihak berkuasa sememangnya ada hak untuk siasat.
“Akhir kata, posting tentang Nurul Izzah bukan isu 3R. SKMM siasat sebab nada dan gaya posting itu mungkin langgar Seksyen 233. SD bukan tiket lepas – siasatan tetap jalan. Tanya boleh, tapi tanya elok-elok. Nak tegur, tegur. Tapi jangan buat provokasi untuk kandungan (content).
“Jangan salah guna kebebasan bersuara untuk burukkan orang sesuka hati,” ujarnya lagi sambil memaklumkan ulasan yang dibuatnya adalah pandangan sendiri daripada sudut undang-undang
Baca juga: Disuruh bawa anak balik Malaysia untuk jumpa bapa, ini respon Shuhada