Kenderaan Singapura masuk Malaysia tapi tak daftar VEP? Siap sedia kena saman lepas Julai

Oleh KIM SYAZIE

Pemilik kenderaan asing dari Singapura yang tidak mendaftar atau mengaktifkan Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan mula dikenakan notis saman bermula 1 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan saman ini melibatkan kenderaan persendirian individu yang masih gagal mematuhi keperluan pendaftaran VEP meskipun telah diberikan tempoh yang mencukupi untuk melakukan prapendaftaran.

“Bagi kenderaan persendirian syarikat yang masih belum mendaftar VEP akan diberi notis peringatan dan dibenarkan keluar dari negara ini.

“Kenderaan persendirian ini sudah diberikan tempoh beberapa bulan untuk melakukan prapendaftaran dan sekiranya gagal akan berdepan saman.

“Kenderaan yang gagal membayar saman akan disekat keluar dan perlu membayar secara fizikal di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau kaunter secara tanpa tunai,” katanya dalam sidang media.

Untuk rekod, penguatkuasaan sistem VEP di Pintu Masuk Darat Malaysia-Singapura telah bermula sejak 1 Oktober 2024 secara berfasa. Pada peringkat awal, ia dilaksanakan melalui pendekatan advokasi dengan pemberian notis peringatan kepada kenderaan dari Singapura yang belum berdaftar.

Langkah ini melibatkan dua pintu masuk utama di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Bangunan Sultan Abu Bakar, Link Kedua Malaysia-Singapura.

Baca juga: Tong gas bersubsidi: Keputusan Kabinet lambang keperihatinan Kerajaan Madani