Kenyataan Ismail pembangkang hilang ketika banjir umpama meludah ke langit

Oleh NASUHA RAHMAN

Parti KEADILAN Rakyat (PKR) Selangor menganggap kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beberapa wakil rakyat pembangkang ‘hilang’ ketika bencana banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu boleh diibaratkan seperti meludah ke langit.

Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar berkata, Perdana Menteri yang sibuk memotong kek ketika rakyat sedang menyabung nyawa dan merayu minta diselamatkan kerana air yang naik begitu pantas ketika tragedi banjir melanda beberapa negeri khususnya negeri Selangor bulan lalu mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

“Itu belum lagi perangai jelik Menteri dan ahli parlimen kerajaan yang sibuk ke majlis makan malam perhimpunan UMNO ketika banjir melanda.

“Apakah penipuan yang cuba dilakukan Ismail Sabri dengan memberitahu Dewan Rakyat, bahawa beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir dan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak kelihatan?

“Adakah semata-mata hadir berbaju melayu dan berada di bilik selesa berpenghawa dingin untuk mendengar taklimat boleh dianggap membantu?”kata beliau.

Katanya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turun seawal pagi 18 Disember namun kelibat Ismail Sabri hanya dilihat pada 19 Disember.

“Itupun setelah mengumumkan kehadirannya kepada media sehari sebelum melakukan lawatan di sekitar kawasan klang berdasarkan sebaran melalui aplikasi WhatsApp.

“Beliau juga mengatakan tidak nampak Ahli Parlimen Pembangkang dan ADUN Kerajaan negeri Selangor pada waktu malam ketika banjir melanda.

“Bagaimana mungkin beliau nampak kerana beliau hanya turun melakukan gimik membersihkan kawasan yang terkesan setelah banjir surut berbanding Ahli Parlimen Pembangkang dan ADUN Kerajaan Negeri Selangor yang berada sejak dari awal bersama penduduk,” katanya

Menteri Besar Selangor saudara Amirudin Shari katanya turun sejak awal meredah banjir bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap walaupun dengan kelengkapan yang terhad akibat bantuan yang dijanjikan dari kerajaan pusat tidak kunjung tiba.

Namun katanya beliau menunjukkan tauladan yang baik selaku seorang pemimpin utama negeri. Berbeza pula dengan Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan yang boleh keluar negara walaupun setelah banjir melanda dan hanya turun sekadar melalukan gimik bodoh mencuci najis cicak dan burung seperti dilakukan Rina Harun.

Justeru katanya, kritikan Ismail terhadap kerajaan negeri Selangor dalam mengurus bencana banjir juga menunjukkan yang beliau seorang Perdana Menteri yang tidak layak memimpin negara.

“Mengapa aset kerajaan pusat yang bernilai berbilion ringgit tidak digerakkan sejak dari awal banjir melanda melanda negeri Selangor? Adakah beliau lupa bahawa saudara Noh Omar merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor sejak November 2021?

“Ini mungkin boleh menjawab persoalan kenapa koordinasi bantuan antara Persekutuan dan Negeri terlalu teruk sehingga ada rakyat yang mati menunggu bantuan yang tak kunjung tiba. Mungkin masih sibuk dengan Persidangan UMNO?” soal beliau.

Beliau mengingatkan kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan bahawa nyawa rakyat yang terkorban akibat banjir tidak mungkin mampu dikembalikan semula.