Kerajaan mengambil keputusan untuk membatalkan 3.1 juta saman Automatic Enforcement System (AES) setakat 1 September 2018, demikian menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Hal ini katanya, kerana jumlah bayaran balik akan menjadi keuntungan milik syarikat pengendali AES tetapi bukan kerajaan.
“Ini merupakan pembatalan secara “one off” dan tiada pembatalan saman yang akan dibuat lagi pada masa depan. Penguatkuasaan akan dilakukan oleh JPJ pada masa depan,” katanya.
Katanya, usaha ini dijalankan selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi pengendali sistem AES iaitu Beta Tegap dan A.T.E.S. yang tamat pada 31 Ogos ini.
“Kerajaan telah ‘berkorban’ untuk tidak mengutip saman AES ini maka semua saman AES setakat ini yang masih belum dibayar oleh orang ramai telah dibatalkan.
“Jumlah saman adalah sebanyak 3.1 juta. Dengan setiap saman AES adalah RM150, maka semua jumlah adalah RM435 juta,” katanya selepas menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.
Beliau turut memohon maaf kepada mereka yang telah membayar saman iaitu sebanyak 18 peratus sejak tahun 2012 dengan jumlah saman berbayar lebih RM659 000.
“Yang sudah bayar itu kita minta maaf, kerajaan tidak mampu untuk membayar balik kepada mereka semula,” katanya.
Beliau turut menegaskan saman yang dibatalkan ini hanya melibatkan samana AES sahaja saman-saman yang lain seperti kesalahan trafik adalah di bawah kuasa pihak polis.
Jelas beliau, kerajaan BN sebelum ini telah mengarahkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui anak syarikatnya IRAT Properties Sdn.Bhd menggunakan dana mereka sebanyak RM555 juta bagi mengambil alih dan menyelesaikan masalah dua syarikat terbabit.
“RM555 Juta ini digunakan untuk membeli dua syarikat yang asetnya hanya ada 40 buah kamera,” katanya.
Di dalam mesyuarat kabinet hari ini, katanya atas semangat menjaga kebajikan tentera kerajaan akan membayar balik kepada LTAT secara berperingkat.
“Kita akan adakan rundingan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan. RM555 juta yang diambil daripada LTAT akan di bayar balik,” katanya.
AES telah dimulakan pada tahun 2012 dan ia menjadi buah mulut orang ramai kerana cara perlaksanaan tidak telus.
Kerajaan perlu membayar RM16 kepada dua buah syarikat terbabit bagi setiap saman yang dikeluarkan dan 50% daripada jumlah kutipan perlu dibayar kepada dua syarikat ini.