Kerajaan belum insaf lakukan keborosan dan penyelewengan, bidas Mahfuz

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini membidas kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah penyelamat kewangan kerajaan dan ekonomi negara.

Mahfuz berkata,sebagai seorang perdana menteri kenyataan sedemikian memberikan gambaran Najib dan kerajaan tidak insaf daripada melakukan segala keborosan dan penyelewengan.

“Pendapatan kerajaan yang terhasil daripada GST yang dipaksa ke atas rakyat dengan purata setahun rakyat terpaksa membayar RM7,000 hingga RM8,000 beserta pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,000 setahun adalah tidak setimpal.

“Ini kerana rakyat terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup membabitkan kenaikan kadar tol,tambang bas, teksi, ERL, LRT,monorel, bil utiliti, harga barang dan segala macam lagi.

“Semua kos ini dipaksa ke atas rakyat untuk menutup segala keborosan dan penyelewengan salah laku kerajaan dalam mengurus kewangan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata Mahfuz lagi, kerajaan sudah ketandusan ide untu mencari jalan meringankan beban kos sara hidup rakyat sebaliknya memberikan ide jenaka membabitkn menterinya.

“Idea lawak jenaka buat dua kerja, masak di tempat kerja, ayam mahal jangan makan ayam dan macam-macam lagi ide yang menyakitkan hati rakyat.

“Sebelum keadaan negara lebih buruk atas ketidakupayaan kerajaan mengurus negara, sewajarnya Najib dan kerajaan memohon maaf kepada rakyat serta menyerahkan mandat secara terhormat kepada rakyat,” ujarnya.

GST yang mula dilaksanakan pada April tahun lepas, dari segi makronya merupakan penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhannya, kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau dipetik berkata pelaksanaan GST telah mendapat kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion dengan unjuran kutipan bersih RM27.126 bilion pada Disember 2015.

Kutipan bersih GST itu dianggarkan meningkat kepada RM39 bilion pada tahun ini, katanya pada perhimpunan khas Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

“Pelaksanaan GST dari segi aspek makro menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum. Maka, tidaklah salah kalau saya menyatakan bahawa dari segi makro, GST merupakan penyelamat kepada keadaan kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhan,” katanya.