Kerajaan Malaysia membelanjakan sehingga RM136,136 sebulan untuk membayar gaji lima penasihat khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad, lampiran yang disertakan memaparkan gaji kepada lima penasihat khas yang dilantik dengan masing-masing dibayar RM27,227.20.
Abd Latiff berkata demikian berdasarkan jawapan Parlimen kepada Ahli Parlimen Alor Setar PKR Chan Ming Kai yang meminta senarai semua penasihat khas yang diupah oleh kerajaan pada masa lalu dan kini.
Penasihat khas semasa perdana menteri ialah Abdul Hadi Awang (Duta Khas ke Timur Tengah); Tiong King Sing (Duta Khas ke China); Richard Riot (Duta Khas ke Jepun, Korea dan Taiwan); S Vigneswaran (Duta Khas ke India dan Asia Selatan) dan Azalina Othman Said (penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia).
Sementara itu, jumlah keseluruhan bayaran penasihat khas bekas Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin pula berjumlah RM99,886.27 sebulan.
Mahiaddin sebelum ini mempunyai empat orang penasihat dengan gaji RM27,227.20 sebulan, kecuali Dr Jemilah Mahmood (penasihat khas kesihatan awam) yang diberi gaji RM18,204.67.