Jangan pandang enteng, jangan buat tak peduli jika sudah jelas pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) akan memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pembalakan secara tebang habis.
Adun Kulim, KC Yeo berkata, permohonan telah pun dibuat kepada Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, supaya menghentikan dan membatalkan semua cadangan pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam HSK sebelum ini.
“Setelah merujuk pelbagai sumber didapati kebanyakan projek terbabit dilakukan tanpa kawalan walaupun pihak berkuasa berkenaan mengakui mempunyai prosidur operasi standard (SOP) dan telah diluluskan.
“MB harus tahu bahawa pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam HSK menyebabkan fungsi kepelbagaian biologi hutan terjejas dan kawasan tersebut tidak lagi mampu melakukan pelbagai fungsi ekologi.
“Pihak Berkuasa Negeri Kedah wajar memberhentikan dan membatalkan semua cadangan pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam HSK di negeri Kedah termasuklah di Hutan Simpan Gunung Bongsu,” ujar beliau ketika ditemui.
Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa negeri dicadangkan supaya menambah keluasan hutan perlindungan di Hutan simpang Gunung Bongsu dibawah Seksyen 10(1), Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984(Pemakaian)1985 kerana terdapat kawasan rangkaian ekologi ‘ Central Forest Spine’ (CFS) Secondary Linkage 13(SL 13) Hutan Simpan Gunung Inas yang perlu juga dipulihara.