Kerajaan kurang strategi tanam pokok jenis hutan, pulihara hidupan liar

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berasa amat kesal dengan perkembangan yang perlahan dari segi penanaman pokok jenis hutan selepas beliau meninggalkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Jelasnya, langkah tersebut termasuklah di kawasan hutan terbiar seluas 2,500 hektar di Lower Kawag di daerah Lahad Datu di Sabah dan projek penanaman rumput yang dimakan oleh gajah dengan tujuan mewujudkan koridor gajah di utara Sabah.

“Program-program tersebut disambut baik oleh para NGO dan pakar pemuliharaan tetapi ia tidak diambil berat oleh mantan Menteri Khairuddin Aman Razali.

“Kesemua projek ini digubal demi melawan persepsi negatif terhadap Malaysia dan memberi gambaran industri minyak sawit kita yang mengambil berat tentang pemuliharaan alam sekitar yang jarang diketahui oleh orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teresa berkata, dalam jawapan bertulis kementerian terbabit kepada soalan beliau berkenaan projek di bawah Malaysian Palm Oil Green Conservation Fund (MPOGCF) dalam sidang Parlimen lalu, menteri berkata 13 projek telahpun dikenalpasti.

“Daripada senarai projek tersebut, ia jelas menunjukkan lembaga pemegang Amanah MPOGCF ataupun Menteri tiada strategi dari segi penggunaan dana tersebut.

“Projek penanaman pokok jenis hutan nampaknya beselerak di semua tempat di Malaysia, ia tidak akan membawa hasil yang dikehendaki, kerana dana tidak digunakan dengan adanya fokus,” tegasnya.

Antara projek terbabit, jelas Teresa ialah RM2 juta digunakan dalam penanaman semula pokok hutan di Putrajaya; RM420,000 untuk menanam pokok hutan di Melaka dan RM2.85 juta untuk projek penghutanan semula central forest spine di Kelantan.

Dana turut digunakan untuk projek penanaman dan pemuliharaan pokok di Tamotani Kuala Terengganu sebanyak RM1.2 juta dan RM301,305 untuk penerbitan Buku Panduan Amalan Pengurusan Ladang Terbaik: Pengurusan Hidupan Liar di Kawasan Perladangan.

Teresa menegaskan jika sumbangan daripada pengusaha industri untuk projek pemuliharaan hijau berselerak di semua tempat di Malaysia dan tidak ditumpukan pada kawasan yang berlaku konflik manusia dan hidupan liar, kementerian akan dilihat melaksanakan projek tanpa strategi.

“Jadi, adalah susah bagi kementerian ataupun pengusaha minyak sawit Malaysia untuk meuar-uarkan usaha pemeliharaan alam sekitar dan penjagaan hidupan liar oleh industri minyak sawit Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Menteri Zuraida Kamaruddin untuk menyemak dan meneliti projek-projek pemuliharaan hijau di bawah MPOGCF.

Menurutnya, projek-projek tersebut juga mesti dilaksanakan secara sistematik dengan strategi komunikasi supaya Malaysia boleh meuar-uarkan projek-projek berimpak tinggi tertentu yang disumbang oleh industri sawit Malaysia untuk menangkis dakwaan palsu terhadap minyak sawit di banyak tempat di dunia ini.