Kementerian Sumber Manusia memaklumkan Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam agenda perlindungan sosial menerusi kunjungan hormat yang diadakan di Geneva, Switzerland pada 8 Jun 2026.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan telah mengadakan pertemuan bersama Presiden ISSA, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta barisan kepimpinan organisasi berkenaan bagi membincangkan pelbagai inisiatif berkaitan perlindungan sosial pekerja.
Dalam pertemuan tersebut, Ramanan berkongsi beberapa reformasi perlindungan sosial yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI termasuk pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025.
Akta yang disifatkan memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada lebih 1.6 juta pekerja gig di negara ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 bagi melindungi lebih sembilan juta pekerja tanpa mengira masa dan lokasi kemalangan.
Menurut beliau, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited memperkukuh sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif, mampan dan responsif terhadap keperluan tenaga kerja masa kini.
Dalam masa sama, usaha tersebut juga dilihat penting bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan daya saing majikan terus terpelihara.
Kunjungan itu turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta perkongsian amalan terbaik dalam bidang keselamatan sosial sekali gus mengukuhkan hubungan strategik Malaysia bersama ISSA di peringkat antarabangsa.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung ISSA, Marcelo Abi-Ramia Caetano; Pengerusi Suruhanjaya Kawalan ISSA, Fabian Pilzecker; Pengarah Tadbir Urus, Hubungan dan Wilayah ISSA, Jens Schremmer; Penyelaras Serantau ISSA bagi Asia dan Pasifik, Indrajid Nurmukti; Pegawai Khas kepada Presiden ISSA, Mas Ari Amry A. Rahman serta Pegawai Khas kepada Pengerusi Suruhanjaya Kawalan ISSA, Katharina Kirn.
Baca juga: Ketua Penerangan Pas dedah punca ‘ceraikan’ Bersatu, tak boleh berada bawah payung sama