Kerajaan negeri Kedah harus segera menyelesaikan isu bekalan air oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan juga isu rumah mampu milik bagi rakyat miskin di negeri itu.
Menurut Adun Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris, isu terbesar perumahan rakyat negeri Kedah yang harus diselesaikan oleh kerajaan terbahagi kepada beberapa keperluan jenis rumah.
“Rumah murah, rumah sementara, rumah mampu milik kos rendah, rumah mampu milik kos sederhana rendah dan rumah mampu milik kos sederhana.
“Setelah dua tahun merampas kuasa, kerajaan masih lagi mahu menuding jari kebelakang dengan cuba menyalahkan pihak lain, sedangkan mereka yang memimpin dan sudah sepatutnya melakukan yang terbaik bagi kepentingan rakyat negeri Kedah.

“Laporan yang menyatakan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambilalih sebahagian daripada 77 hektar tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM) di Bukit Malut, Langkawi bagi membina perumahan baharu bagi penduduk penempatan haram berhampiran adalah tidak wajar sama sekali kerana penduduk tempatan yang melarat masih ramai tidak memiliki rumah sendiri, ” ujar beliau melalui laman Facebooknya.
Malah tegasnya lagi, kerajaan seharusnya mengutamakan rakyat tempatan yang masih begitu ramai miskin dan bukannya memberi keutamaan dengan menyediakan perumahan kepada pendatang Burma sepertimana yang telah dibangkitkan, seolah-olah ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.
Baca juga: https://malaysiadateline.com/daftar-i-akaun-memudahkan-pengeluaran-rm10000-kwsp-anda-ini-caranya/