Kerajaan perlu lebih realistik guna Indeks Kemiskinan Multidimensi

Oleh ARIF ATAN

Kerajaan perlu lebih realistik bagi membantu proses membuat keputusan berasaskan bukti pada semua peringkat perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian inisiatif untuk mengurangkan kemiskinan melalui penggunaan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI).

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapha Mohamed untuk menggunakan MPI dalam merangka program bagi mengambil kira ketersisihan dan keperluan isi rumah bagi pelaksanaan yang lebih bersasar dan berkesan susulan penerbitan laporan MPI Permatang Pauh wajib bermula dengan ukuran di kawasan-kawasan yang terkesan dengan dwi tragedi pandemik serta darurat-banjir yang lebih parah akibat fenomenaLa Nina.

“Buat pertama kalinya, pada Julai 2021, hasil penemuan laporan MPI telah melaporkan penemuan indeks kemiskinan pelbagai dimensi yang dialami 332 isi rumah B40 di Permatang Pauh yang sudi ditemubual dan berkongsi sisi yang sebenar terhadap kemiskinan serta ditambah lagi dengan kesukaran pasca Covid-19.

“14 enumerator anak muda jati Permatang Pauh yang telah turun padang selama 14 hari demi mendapatkan kajian serta menghulurkan bantuan secara berpasukan dengan sembilan dimensi kemiskinan (deprivation) yang diukur.

“Tiga daripadanya berkait dengan kesan pandemik Covid-19 maka saya bangkitkan juga bahaya yang mendepani kita sekiranya tidak bersedia sepenuhnya menghadapi musim tengkujuh yang akan tiba,” ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Izzah lagi, beban krisis pandemik, banjir dan kemiskinan akan membebani kita sekiranya tidak bertindak bagi mempersiap dasar, langkah serta program berintegrasi rentas agensi bagi menjadikan Malaysia kalis cabaran dan krisis masa depan.