Kerajaan Persekutuan rugi RM180 juta gagal kutip duti eksport bauksit

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Persekutuan didakwa kerugian sebanyak RM180 juta kerana gagal mengutip duti eksport daripada aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang bagi tahun 2015.

Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, berdasarkan World Bereau of Metal Statistics, Malaysia dianggarkan mengeluarkan 20 juta tan bauksit tahun lalu.

Menurutnya, pada harga purata AS$45 per tan (RM180), jumlah eksport bauksit bagi 2015 sepatutnya mencecah RM3.6 billion.

Rafizi berkata, jumlah itu bertepatan dengan anggaran royalti lima peratus, iaitu RM180 juta seperti yang disebut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, baru-baru ini.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengenakan royalti atau apa-apa caj ke atas perlombongan galian yang disenaraikan di bawah Akta 396: Akta Pembahagian Duti Eksport Galian 1964, Seksyen 2(1) dan Seksyen 2(2) kerana Kerajaan Persekutuan telah mengenakan duti eksport yang separuhnya akan diagihkan kepada kerajaan negeri.

“Ini bermakna Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk tidak mencukai eksport bauksit sedangkan pengusaha bauksit dilaporkan mendapat kadar keuntungan bersih sehingga 40 peratus bagi setiap tan bauksit.

“Ini berbeza dengan industri utama negara yang lain seperti kelapa sawit yang dikenakan duti eksport sebanyak 10 peratus sedangkan kadar keuntungan bersih adalah jauh lebih rendah daripada 40 peratus yang diperoleh syarikat perlombongan bauksit,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, semalam seperti dilapor Sinarharian online.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, semakan melalui laman tarif Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mendapati tiada kadar duti eksport yang dikenakan terhadap bauksit.

“Perkara yang mengejutkan dan membimbangkan saya adalah apabila kadar duti eksport bagi bauksit di bawah kod 2606000000 adalah kosong peratus seperti yang ditunjukkan oleh laman Kastam.

“Berdasarkan maklumat ini, ia bermakna eksport bauksit ke luar negara tidak dikenakan sebarang duti eksport dan Kerajaan Persekutuan tidak mengutip sebarang hasil,” katanya.