Kerajaan Pusat-Sarawak ambil jalan rundingan dalam isu Petros-Petronas

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak akan memuktamadkan semua isu berkaitan Petronas dan Petros secara rundingan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg telah bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara Petronas dan Petros.

Langkah ini penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada kerjasama Petronas dan Petros dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.

“Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Kedua – dua pihak juga sepakat menyelesaikan semua isu berbangkit menerusi rundingan.

Kerajaan Sarawak sebelum ini mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, kerajaan negeri mendakwa sebuah loji kendalian PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) yang menyentuh aktiviti pembinaan, penyelenggaraan serta pengurusan saluran paip dan peralatan gas asli, beroperasi tanpa permit sah di bawah undang-undang.

Penubuhan Petros adalah selaras dengan hasrat negeri Sarawak untuk melibatkan diri di dalam sektor carigali minyak dan gas di Sarawak.

Sarawak juga meneruskan usaha untuk memperoleh 20 peratus royalti daripada Petronas.