Kerajaan salur bantuan BUDI MADANI Diesel hari ini! Penerima layak dapat RM400

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan mula menyalurkan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM400 pada hari ini kepada penerima yang layak untuk meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos bahan api.

Perkara itu dimaklumkan pihak Kementerian Kewangan menerusi kenyataan yang dikongsikan di platform Facebook khusus buat permohonan dalam tempoh 1 sehingga 31 Mei ini.

Menurut kenyataan itu, penyaluran inisiatif kerajaan berjumlah RM400 tersebut merangkumi bantuan sedia ada sebanyak RM200 bersama bantuan tambahan interim bernilai RM200.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban penerima susulan kenaikan harga bahan api akibat ketidaktentuan pasaran global,” kata kenyataan yang dikongsikan di akaun Facebook Kementerian Kewangan itu.

Inisiatif kerajaan menaikkan kadar bantuan kepada RM400 sebulan ini bertujuan untuk memberikan kelegaan khusus kepada golongan sasar dalam mendepani peningkatan kos sara hidup dan operasi harian.

Bantuan ini diteruskan walaupun negara berdepan dengan krisis bekalan global agar dapat meringankan beban pemilik kenderaan persendirian dan pengguna yang bergantung kepada diesel.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata penerima yang layak sudah menerima bantuan tersebut dan menghargai usaha kerajaan dalam menjamin kesejateraan rakyat.

Baca juga: Wanita cuak nampak dua lelaki mencurigakan depan ATM, terus minta polis jadi ‘bodyguard’