Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan sendiri sedang mensabotaj demokrasi dan beliau sendiri sedang ditutup mulut dan disekat dari berjumpa dengan ahli Umno dan orang ramai.
Dalam tulisan terbaru dalam blog beliau, Tun Mahathir mendakwa, ia dilakukan menjelang perhimpunan agung Umno yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Ada iklim ketakutan yang menghalang segala kegiatan yang bersangkutan dengan mengkritik Kerajaan. Ia seolah-olah menjadi jenayah yang tidak tertulis.
“Tetapi dakwaan dibuat kononnya ini negara demokrasi. Sesiapa yang cuba sabotaj demokrasi Malaysia boleh dikena penjara hingga 15 tahun. Tetapi sebenarnya yang mensabotaj demokrasi Malaysia ialah kerajaan sendiri,” tulisnya malam tadi.
Menurut Mahathir, beliau tidak akan bertanding untuk apa-apa jawatan.
“Tetapi usaha gigih sedang dijalan untuk menutup mulut saya, untuk menyekat saya dari berjumpa dengan ahli UMNO, bahkan orang ramai.
“Dewan dimana mesyuarat boleh diadakan yang dihadiri oleh saya tidak boleh didapati kerana semua pemilik takut didera oleh Kerajaan,” tulisnya.
Selain itu, bermacam jenis tekanan digunakan yang tidak demokratik.
“Ada yang berhadapan dengan pemeriksaan pendapatan kononnya kerana tidak bayar cukai. Ada yang disoal siasat oleh polis. “Ada yang dimasuk dalam tahanan tanpa berasas kepada undang-undang. Ada yang diugut akan kehilangan kontrak dll,” tulisnya.
Bagi beliau sepatutnya semua pihak berpegang kepada pepatah berani kerana benar; takut kerana salah.
Namun beliau mempersoalkan, pemimpin Umno sekarang bertindak bukan begitu tetapi kerana takut.
“Apakah kerana salah yang takut sangat 1MDB dan 2.6 billion ringgit dibincang,” soal beliau.
Menurut Tun Mahathir, semasa beliau jadi presiden Umno dan Perdana Menteri cabaran tidak pernah berhenti. Sudah tentu ada percubaan menjatuhkan beliau sebagai presiden Umno, katanya.
Diantara cabaran yang terbesar ialah apabila Tengku Razaleigh Hamzah dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden Umno.
“Kita sudah terima sistem demokrasi dalam pemilihan pemimpin. Apa yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh adalah sah dalam sistem demokrasi. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh saya untuk mengelak dari dicabar olehnya,” katanya.
Pada bulan Disember 2015 ini, Mesyuarat Agong Umno akan diadakan.
“Tidak akan ada apa-apa pertandingan. Tetapi entah kenapa usaha sedang dibuat oleh Umno supaya perbahasan berkenaan perkara tertentu, khususnya 1MDB dan wang sebanyak 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi Datuk Sri Najib tidak boleh dibangkit,” katanya.
Persidangan pula, katanya Tun Mahathur, akan tertutup kepada orang ramai. Tidak semua dari ucapan perwakilan akan disiar. Hanya ucapan presiden sahaja akan disiar.
“Sepatutnya Muhyiddin Yassin, sebagai Timbalan Presiden akan membuka persidangan sayap – Pemuda, Wanita dan Puteri. Amaran sudah diberi supaya ahli Umno tidak akan bercakap berkenaan perkara ini.
“Apakah jenis Mesyuarat Agong Umno ini?” soalnya.