Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) memeterai perjanjian kerjasama pintar bersama Universiti Malaya Dan Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan Malaysia bagi melaksanakan
Program ‘Training Of Trainers (ToT)’ Anak Istimewa Selangor (ANIS).

Majlis pemeteraian perjanjian telah disaksikan oleh YB Dr Siti Mariah Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Puan Gan Pei Nei, Pengurus Besar, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Profesor Madya Dr. Zawawi Bin Ismail, Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Dato Badruddin Hj Abu Bakar, Timbalan Presiden, Persatuan Pendidikan Khas Malaysia.
Majlis Penandatangan Jalinan Kerjasama bertujuan bagi merangka dan melaksanakan program kapasiti yang relevan dengan keperluan semasa melalui perkongsian tenaga dan kepakaran bersama institusi pengajian tinggi dan badan sokongan berkait pendidikan khas.
Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan akses Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pendidikan sekaligus membangunkan ekosistem pendidikan yang inklusif.
Program ToT ANIS akan melibatkan peserta dalam kalangan mahasiswa dan graduan pendidikan selain bidang pendidikan khas, pendidik di institusi pendidikan awal seperti tadika dan taska serta sukarelawan anak istimewa.
Para peserta bakal didedahkan dengan aspek-aspek pengajaran dan pembelajaran yang berkait dengan murid
berkeperluan khas seperti strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Bagi menyediakan para pendidik yang kompeten, para peserta akan mempelajari dengan lebih mendalam tentang ciri-ciri murid berkeperluan khas, cara pengenalpastian, intervensi awal, pentaksiran pendidikan khas, peranan pemimpin sekolah, peluang pekerjaan, serta peranan ibu bapa dan komuniti terhadap murid berkeperluan khas.
Pelaksanaan Program ToT ANIS merupakan kesinambungan kepada inisiatif dan program Kerajaan Negeri bagi golongan OKU melibatkan saringan dan intervensi bagi anak-anak istimewa Selangor, latihan bagi Cikgu Anak Istimewa, sokongan kepada ibu bapa dan keluarga serta program kesedaran di peringkat komuniti.
Dalam ucapannya, Dr Mariah berkata, program ToT ini tidak akan terlaksana tanpa kerjasama semua pihak khasnya UM dan Persatuan Pendidikan Khas ini.